DAP patut salahkan diri sendiri - 1Media.My

Header Ads

DAP patut salahkan diri sendiri


Pemimpin DAP, khususnya Lim Guan Eng yang memegang kuasa eksekutif dalam DAP, sepatutnya merasa malu dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal membuat pemilihan semula mengikut undang-undang ditetapkan sehingga memaksa ahli-ahli DAP yang tidak berpuas hati membuat aduan mengenainya kepada JPPM.Sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat demokratik, tidak sepatutnya pemilihan semula ini dibuat secara tidak betul, apatah lagi bila DAP selalu terkehadapan dalam menuntut penjalanan pilihan raya yang bersih dan telus dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Dr Kamarul Zaman Yusoff
Setelah membuat siasatan rapi, pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPM) akhirnya membuat keputusan bahawa, mengikut Akta Pertubuhan dan Perlembagaan DAP sendiri, proses pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang telah diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang. 

Keputusan tegas JPPM ini sekali gus menjadikan pelantikan semua pemegang jawatan utama DAP, termasuk Setiausaha Agung, turut tidak sah kerana pemilihan CEC itu sendiri tidak sah.

Keputusan JPPM ini tidak seharusnya cuba dipolitikkan oleh pemimpin dan penyokong DAP untuk menarik simpati rakyat kononnya ini adalah konspirasi jahat pemerintah untuk mengalahkan DAP.

Pemimpin DAP, khususnya Lim Guan Eng yang memegang kuasa eksekutif dalam DAP, sepatutnya merasa malu dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal membuat pemilihan semula mengikut undang-undang ditetapkan sehingga memaksa ahli-ahli DAP yang tidak berpuas hati membuat aduan mengenainya kepada JPPM.

Sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat demokratik, tidak sepatutnya pemilihan semula ini dibuat secara tidak betul, apatah lagi bila DAP selalu terkehadapan dalam menuntut penjalanan pilihan raya yang bersih dan telus dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cukup memalukan bila masalah pemilihan semula ini masih membelenggui DAP sedangkan ia dibarisi oleh ramai tokoh profesional, khususnya para peguam, yang sepatutnya arif dalam bidang undang-undang.

Keputusan ini sekali gus membebaskan JPPM dari tuduhan banyak pihak yang mendakwa konon kegagalannya bertindak ke atas DAP sebelum ini adalah kerana ada tangan ghaib yang mahu membela DAP.

Kini terpulanglah kepada pemimpin DAP untuk mempolitikkan isu ini demi kepentingan sempitnya seterusnya menggunakan watikah pelantikan calon pilihan raya dari parti rakan atau segera membuat pemilihan semula CEC baharu secara telus.

Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah apakah pemimpin tertinggi DAP sekarang sanggup mengambil risiko pemilihan semula CEC baharu yang dibuat secara telus akan mengubah komposisi selaras dengan kehendak akar umbi parti?

Apa pun, bagi sesetengah pihak, kesilapan besar menguruskan parti begini akan mendorong pemimpin yang bertanggungjawab ke atasnya meletakkan jawatan jika pemimpin itu benar-benar bermoral.

Memegang jawatan utama parti selama bertahun-tahun hasil daripada pemilihan yang tidak sah adalah satu perkara yang sukar dimaafkan.

Dr Kamarul Zaman Yusoff