Bukan sebat di Pasar Siti Khadijah, padang atau tepi jalan, kata Zainul Rijal - 1Media.My

Header Ads

Bukan sebat di Pasar Siti Khadijah, padang atau tepi jalan, kata Zainul Rijal



SHAH ALAM: Sebatan secara terbuka bukan bermaksud pesalah jenayah syariah disebat di kawasan terbuka seperti Pasar Siti Khadijah, padang bola atau tepi jalan, itu penjelasan Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
 
Katanya masyarakat perlu tahu istilah 'disebat secara terbuka' di dalam pindaan tersebut adalah hukuman itu dijalankan ditempat tertentu, yang ditentukan oleh mahkamah dan proses itu boleh ditonton orang awam.
 
"Tafsiran (istilah disebat secara terbuka) ada disebut (sebagai) dibuat secara terbuka bukan di tempat terbuka seperti yang difikirkan oleh orang ramai atau diuar-uar kalangan tertentu. Sebatan dibuat secara terbuka bermakna, sebatan boleh dilakukan di dalam bilik ini umpamanya (lokasi temubual berlangsung), tetapi orang luar boleh masuk tengok. Itulah secara terbuka. 
 
"(Sebatan) juga boleh dilakukan dalam penjara tapi diuar-uarkan orang awam boleh datang, boleh tengok (hukuman sebat dijalankan), juga di mahkamah. Orang awam boleh datang dan saksikan Mahkamah Syariah boleh tentukan lokasi perlaksanaan tersebut.
 
"Bukan di Pasar Siti Kadijah, di padang dan sebagainya. Bukan mesti ditempat terbuka. Pelaksanaan secara terbuka, dimana orang awam boleh datang. Siapa nak datang, datanglah. Bukan sengaja kita letak di tepi jalan, ditempat orang lalu lalang. Orang yang nak melihat boleh datang melihat dan bukannya dipaksa melihat (hukuman dijalankan)," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah II, minggu lalu.
 
Sebaik sahaja pindaan itu diluluskan, terdapat pihak yang menyatakan bantahan malah yang menyindir tindakan DUN Kelantan, yang sebulat suara menyokong enakmen itu dipinda.
 
Mengulas lanjut, Zainul berkata pindaan itu adalah usaha kerajaan Kelantan untuk memperkemaskan tatacara bagi pengamal undang-undang syariah di negeri itu melaksanakan tugas masing-masing.
 
Beliau kemudiannya bertegas, enakmen itu langsung tiada kaitan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), yang sedang menunggu giliran untuk dibahaskan di Parlimen.
 
"Akta 355 hanya berkaitan takat hukuman. Berapa kali nak sebat? Enam kali? 100 kali ke? 80 kali ke? 40 ke? Ini (pindaan Enakmen Tatacara Jenayah) adalah bagaimana kita nak sebat? Sekarang ini  memang ada hukuman sebatan enam kali. Tapi enam kali itu, nak sebat macamana? Itu sahaja. 
 
"Akta 355 adalah berkaitan jumlah hukuman yang akan dikenakan oleh Mahkamah Syariah tetapi enakmen Tatacara Jenayah Syariah II ini adalah enakmen yang menyatakan bagaimana untuk melaksanakan prosiding jenayah sama ada di peringkat siasatan, tangkapan, pendakwaan, perbicaraan, pelaksanaan hukuman, rayuan dan sebagainya. 
 
"Jadi tidak timbul kenapa tidak tunggu Akta 355 lulus dahulu. Kerana enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini tidak langsung meningkatkan jumlah hukuman kepada pesalah (jenayah syariah)," tegasnya panjang lebar.
 
DUN Kelantan sebelum itu dikritik kerana meluluskan enakmen itu tanpa mengunggu pindaan Akta 355 diluluskan terlebih dahulu.
 
Zainul kemudiannya menyatakan kekesalannya kerana pihak tertentu dilihat dengan sengaja cuba mencetuskan kontroversi apabila menimbulkan persoalan mengenai hukuman sebat yang kononnya bakal dilakukan di khalayak ramai, tanpa merujuk pihak yang lebih pakar.
 
Ujarnya pindaan itu membabitkan lebih 30 peruntukan di dalam enakmen tatacara jenayah, namun yang diperbesarkan hanyalah isu sebat dengan tujuan mencetuskan panik di kalangan orang awam.
 
"Kita (perundangan syariah) nak gunakan keterangan di Mahkamah Syariah melalui video (secara langsung). Itu satu teknologi yang canggih.  Tetapi tidak diuar-uarkan pula. Bagaimana orang yang lakukan kesalahan perlu buat perkara kebajikan, parol dan sebagainya. Itu semua ada dalam pindaan enakmen tersebut dan baik untuk masyarakat tetapi langsung tidak disentuh. 
 
"Yang baik sebegitu tidak di uar-uarkan tapi yang diuar-uarkan adalah sesuatu yang boleh mencetus kontroversi. Padahal tak ada pun kontroversi itu tapi dicetuskan seolah-olah ia fenomena yang begitu dasyat apabila orang Islam akan disebat di khalayak ramai, menjatuhkan maruah dan sebagainya, itu yang cuba ditularkan," ujarnya kesal.