Bolasepak Sukan SEA : Jadual Perlawanan Berpihak Kepada Malaysia. - 1Media.My

Header Ads

Bolasepak Sukan SEA : Jadual Perlawanan Berpihak Kepada Malaysia.



Oleh Eddy Zakry

KUALA LUMPUR, 21 Julai : Malaysia bernasib baik kerana jadual perlawanan pertandingan bolasepak Sukan SEA Ogos ini berpihak kepada pasukan negara.

Malaysia akan memulakan cabaran di peringkat kumpulan menentang pasukan yang lemah dan menutup cabaran juga menentang pasukan yang lemah.

Malaysia akan bermain menentang pasukan Brunei pada 14 Ogos sementara perlawanan kumpulan terakhir negara adalah menentang pasukan Laos pada 23 Ogos.

Walaupun Brunei dan Laos tidak boleh dipandang rendah namun mereka tidak sehebat pasukan Myanmar dan Singapura yang bersama-sama dengan Malaysia di dalam kumpulan A. Malaysia akan menentang Singapura pada 16 Ogos dan Myanmar pada 21 Ogos.

Ini bermakna pasukan negara berpeluang menang besar pada perlawanan pertama untuk membakar semangat para pemain.

Malaysia juga mampu menang besar pada perlawanan kumpulan yang terakhir dan ini amat penting jika Malaysia perlu mengatasi pasukan pencabar yang lain melalui perbezaan gol.

Johan dan naib johan kumpulan A akan bertemu dengan johan dan naib johan kumpulan B di peringkat separuh akhir. Kumpulan B terdiri dari pasukan-pasukan Thailand, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina.

Perlawanan-perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Shah Alam, Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pemenang pingat emas pada kejohanan sebelum ini adalah Thailand dalam tahun 2015 di Singapura. Kali terakhir pasukan negara memenangi pingat emas adalah dalam tahun 2011 di Indonesia.

Thailand adalah pemegang rekod dengan 15 kejuaraan. Sementara pasukan negara hanya pernah memenangi pingat emas sebanyak 6 kali walaupun  telah memasuki perlawanan akhir sebanyak 11 kali.(1Media.my)