Bandar Warisan Dunia: LGE berpura-pura? - 1Media.My

Header Ads

Bandar Warisan Dunia: LGE berpura-pura?





SAMBUTAN Hari Bandar Warisan Dunia George Town tidak memberi erti dan hakikat yang penting kepada penduduk Pulau Pinang terhadap usaha memahami, memelihara dan memulihara nilai-nilai warisan apabila warisan sendiri tidak dihargai dan dipertahankan. 

Sebaliknya ia hanya menghadirkan rasa jengkel dan terkilan apabila warisan pihak lain dikekal, dijamin dan dibanggakan, tetapi warisan sendiri bakal terkubur dan lenyap. Bukankah ini satu malapetaka kepada bangsa dan tanah air serta segala identiti dan sejarahnya? 

Kita menyokong usaha untuk melihat semua unsur warisan terus berdiri menjadi sebahagian agenda semangat pembangunan bangsa dan negeri, serta mengambil iktibar yang ada padanya. Tetapi mengapa kerajaan negeri pimpinan DAP hanya bertumpu pada warisan kolonial peninggalan penjajah? 

Adakah kerana ia mendatangkan ‘perolehan’ kepada kerajaan? Tiba-tiba kepada warisan sendiri cuba dihilangkan tanpa sesalan hingga sekali gus turut mengubah sosio-budaya dan ekonomi masyarakat di negeri ini. Seolah-olah juga membenarkan pandangan awam bahawa DAP pro kepada ‘pihak asing’. 

Ketika pihak kerajaan boleh menjadi wakil UNESCO menjaga semua warisan yang ada, mengapa pula menjadi pengancam untuk menghilangkan dari peta segala warisan tradisi sendiri? Bukankah ini kontradik dan tentunya dipengaruhi kepentingan atau agenda tersembunyi? 

Kami menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng keluar dari topeng kepura-puraannya dengan setidaknya menjelaskan manifesto mereka pada PRU dahulu khususnya janji-janji berkaitan warisan. Malah, ke mana akhir tuju dari Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 yang pernah diwartakan? 

Apakah semua itu sekadar mengaburi mata rakyat dan umpan PRU dan seterusnya akan kekal bersikap hipokrit lantaran haloba mengejar perolehan, lalu membunuh dan mematikan sendiri nilai bangsa dan negeri? Suatu masa, rakyat Pulau Pinang perlu menggantikan sambutan ini sebagai ‘ratapan’. 

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOF
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
6 Julai 2017 | 12 Syawwal 1438 – HARAKAHDAILY 6/7/2017