Asia Tenggara jangan ikut Asia Barat - Abdul Hadi - 1Media.My

Header Ads

Asia Tenggara jangan ikut Asia Barat - Abdul Hadi



Umat Islam di Asia Tenggara hari ini sudah berjumlah 300 juta, hasil dakwah generasi awal dahulu. Rantau yang memiliki jumlah umat Islam terbesar di dunia! Tapi pencapaian kita hari ini terlalu ‘slow’, lambat. Mengapa? Sudah tentu di sana ada perkara yang tidak kena, yang perlu kita lakukan muhasabah.

Saya sebut satu contoh yang menarik, bagaimana pendakwah-pendakwah yang membawa Islam di Asia Tenggara ini. Mereka adalah kalangan orang Islam bermazhab Syafie. Berdepan pula dengan penduduk Asia Tenggara yang menganut agama Hindu Buddha. Kalau kita baca feqah mazhab Syafie, tidak menerima ahli zimmah selain ahli Kitab; Kristian, Yahudi dan Majusi. Namun pendakwah yang menegakkan pemerintahan Islam di Asia Tenggara, di Malaysia, di Indonesia, berjaya mengIslamkan penduduk Hindu dan Buddha.

Menunjukkan di sana ada terdapat fiqh Dakwah, fiqh Siasah dan fiqh Jihad. Tidak semata-mata fiqhul Ahkam. Ia sangat perlu difahami oleh ulama-ulama pada hari ini.

Kita juga menghadapi masalah dalaman umat Islam. Kita sibuk dengan masalah khilafiah, masalah cabang, masalah furu’. Cabang akidah, cabang syariah, cabang tariqat dan cabang politik sehingga semua itu telah melahirkan mazhab-mazhab dalam Islam sejak awal lagi. Akhirnya timbul perbalahan dengan mempertahankan mazhab masing-masing.

Padahal Imam Syafie mengaji dengan Imam Malik. Imam Syafie belajar dengan Imam Muhammad Hassan Asy-Syaibani mazhab Hanafi. Abu Hanifah belajar dengan Al-Baqir mazhab Imamiyyah Syiah. Imam Ahmad Bin Hanbal mengaji dengan Imam Syafie.

Mazhab mereka berbeza, tapi perguruannya, pengajiannya dapat menyatukan umat. Hari ini masalah khilafiyah memperbalahkan pondok dengan pondok, tok guru dengan tok guru, ulama dengan ulama pula. Bahas pasal qunut, pasal talqin, pasal masalah furu`. Sehingga lupa hal-hal yang penting yang perlu diselesaikan oleh umat Islam. Masalah jenayah, dadah, politik pemerintahan Islam dilupakan.

Berbalah sesama mazhab akidah, antara salaf dan khalaf tanpa mempelajari sejarah perbezaan ini. Generasi salaf (generasi awal umat Islam) tidak menhadapi masalah serangan falsafah. Tetapi selepas timbulnya fahaman falsafah dan gelombang penterjemahan buku-buku asing, timbulnya mazhab-mazhab Jabariyyah, Qadariyyah, Muktazilah. Maka lahirnya mazhab Khalaf menggunakan manhaj falsafah untuk melawannya. Lahir ahli sunnah.

Bacalah kitab Aqidatun Naji. Ini kitab jawi, kalau payah sangat nak baca kitab arab. Saya mengaji kitab Aqidatun Naji ini sampai lebu. Padahal saya mengaji Universiti Madinah, universiti yang paling kuat wahabi. Tapi saya tak ikut wahhabi. Saya baca juga kitab lain.

Perbezaan berlaku disebabkan perubahan masyarakat, disebabkan tajdid gerakan pembaharuan di zaman masing-masing. Kerana itu Imam Syafie sendiri, juga Imam Nawawi dan Ibnu Katshir pegangan tauhidnya adalah mazhab salaf tetapi Imamul Haramain dan Imam Ghazali yang juga bermazhab Syafie, tauhidnya mazhab Khalaf. Abu Hanifah fekahnya mazhab salaf kerana di zamannya belum lahir lagi Asy-Syairah Maturidiyyah. Tetapi mutakhkhirin mazhab Hanafi bermazhab Maturidiyyah.

Orang zaman dulu tidak berkelahi, tak berbalah dan berpecah. Kenapa orang sekarang berbalah antara salaf dan khalaf? Ini kerana tidak membaca sejarah dan ilmu ijtimak serta tidak membaca ilmu masyarakat.

Ini masalah dalaman umat Islam. Belum masuk lagi bab sunni syiah khawarij. Saya tak perlu masuk ke gear empat. Cukup setakat gear dua sahaja dulu.

Hari ini kita kira nak berperang sahaja. Akhirnya berperang sama sendiri, berperang secara proksi. Apa yang berlaku di Syria, di Yaman, di Libya, berperang sesama sendiri. Beli senjata Barat, bayar duit kepada barat, bunuh orang kita sendiri. Cerdik ke ini? Barat dapat duit, kita mampus!

Ini berlaku di Asia Barat pada hari ini. Kita mengharapkan Asia Tenggara dilindungi oleh Allah. Ulama-ulama Asia Tenggara mesti memahami perkembangan politik, jangan baca kitab kuning sahaja, surat khabar kena baca juga. Jangan ditipu oleh surat khabar, ditipu oleh internet pula.

Ada ulama kuat baca ‘facebook’, tak baca Quran. Ini satu hal lagi.

Stadium Sultan Muhammad Ke-IV
21 Julai 2017
27 Syawal 1438

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
telegram.me/AlangIbnShukrimun
Facebook:
fb.com/AlangShukrimun