NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Antara Dua Mudarat: PAS Sedang Pertimbangkan?



Dalam perjuangan memartabatkan Islam di ruang politik, PAS berhadapan dengan dua kumpulan. Satu kumpulan menentang matlamat politik Islam. Satu kumpulan lagi mempergunakan Islam untuk tujuan politik.

Keduanya adalah mudarat kepada Islam. Tetapi jika tiada ruang untuk menolak kedua mudarat ini sekaligus, melainkan terpaksa melakukan satu sahaja dalam satu masa, maka Islam mengajar supaya dihapuskan dahulu mudarat yang lebih besar. Atas tujuan itu, dibenarkan untuk mengambil mudarat yang lebih ringan bagi tujuan menolak mudarat yang lebih besar. Ia merujuk kepada kaedah fiqh berkenaan Akhaffu Dararain.

Contoh paling masyhur yang disebut oleh Ulama dalam menerangkan kaedah ini adalah kisah daripada Surah al-Kahfi, dimana Nabi Khidir telah membunuh seorang budak. Budak tersebut adalah anak kepada dua ibubapa yang beriman dan sangat mengasihinya. Tetapi Nabi Khidir diberi maklumat oleh Allah bahawa budak ini akan menjadi kufur jika dia dewasa nanti, dan mampu merosakkan iman kedua ibubapa yang sangat mengasihinya. Maka Nabi Khidr melakukan pembunuhan yang dikira sebagai mudarat, bagi menyelamatkan ibubapanya dari terpesong akidah, yang dikira sebagai mudarat lebih besar.

Maka sekiranya tidak mampu untuk menolak kedua pihak ini sekaligus, PAS perlu memilih, manakah mudarat yang lebih ringan buat masa ini. Tidak bermakna redha dengan pihak tersebut, tetapi semata-mata atas tujuan menolak mudarat yang lebih besar. Dalam waktu yang sama PAS perlu merancang bagaimana untuk berhadapan dengan mudarat yang lebih kecil itu pula setelah mudarat besar berjaya dihapuskan.

Ini adalah siasah Rasulullah ketika berhadapan dengan dua musuh besar, iaitu Rom dan Parsi. Baginda mengambil pendekatan untuk memihak kepada Rom dahulu ketika keduanya berperang. Tidak bermakna redha dengan Rom, tetapi melihat bahawa Rom lebih baik daripada Parsi dari sudut mudarat kepada Islam. Di akhirnya setelah kekuatan Parsi berjaya dilemahkan dengan serangan Rom, umat Islam tetap menghapuskan kedua-duanya.

Siasah syariyyah sememangnya sarat dengan isu-isu Fiqh Aulawiyat, Fiqh Muwazanat, Fiqhul Waqi` dan Maqasid Syariah. Semua ini perlu diambil kira dalam mengatur strategi. Tetapi janganlah pula sampai mendahulukan atau bertentangan dengan Fiqh Nusus iaitu pemahaman tentang nas-nas agama.

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
telegram.me/AlangIbnShukrimun
Facebook:
fb.com/AlangShukrimun

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo