ADUN Lenggeng meninggal dunia - 1Media.My

Header Ads

ADUN Lenggeng meninggal dunia



Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail meninggal dunia kira-kira jam 11.25 Selasa malam akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Najihah di Kuala Pilah.

Setiausaha Umno Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi berkata Ishak dilaporkan pengsan ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti Datuk Abdul Samad Ibrahim di Seri Menanti sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

“Jenazah sekarang sedang jalani bedah siasat dan akan dibawa balik ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Ishak yang berasal dari Kampong Pantai, Seremban, baru menyambut ulang tahun ke-66 pada Isnin lepas, Beliau meninggalkan isteri Datin Norimah Ujang dan empat orang anak.

Ishak merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Ishak.

“Innalillah. Terima berita ADUN Lenggeng Datuk Ishak Ismail telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah & takziah kepada keluarga,” katanya menerusi catatan di laman Twitter, pagi ini.

- Bernama