Header Ads

Penemuan Terbaru: Tarawih rawat mati pucuk?



Ustaz Yusof berterima kasih banyak kepada saya seusai ceramah kesihatan dan kaitan dengan Ramadhan di Kuala Nerus sabtu lalu. Antara fakta yang pertama kali beliau dengar seumur hidup ini adalah Solat teraweh boleh menguatkan tenaga batin dan merawat MATI PUCUK. "Saya akan ingat sampai bila-bila doktor" ujarnya sambil senyum lebar. Puas sungguh beliau dengar ceramah dari saya.
.
Mati Pucuk menjadi satu masalah besar bagi lelaki dewasa negara kita. Pengkaji dari Universiti Malaya (2011) mendapati 69.5% lelaki Malaysia yang berumur 40 tahun ke atas mengalami mati pucuk. Sebahagian besar mereka adalah digandingkan dengan berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.[1] Ianya merangkumi lebih dari 1.7 orang. Sudah ibarat mewakli jumlah penduduk Bandaraya Kuala Lumpur!
.
Merawat pesakit mati pucuk ini agak kekok kerana ramai yang tidak tampil membuat pengakuan. Sedangkan mereka sedang berkecamuk dan seksa menanggungnya. Ubatan untuk memulihkannya pula perlu mendapatkan penelitian pakar sebelum diberikan. Bukan senang. Oleh yang demikian ramai yang mengambil jalan mudah dengan membeli ubatan di kaki lima. Akhirnya terjebak mengalami kesan sampingan yang memparahkan lagi keadaan.
.
Solusi alternatifnya adalah solat. Satu kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok mendapati solat banyak manfaat kesihatan. Ini termasuk solat yang melebihi 12 rakaat, durasi 30 minit, minima 3 kali seminggu boleh memulihkan dan menguatkan tenaga batin.[2]
.
Menurut Dr. Fatimah, kajian yang dijalankan masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh serta kandungan kolestrol dalam badan. Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.
.
Nah! Bila waktunya kita dapat solat melebihi 12 rakaat? Hanya diwaktu bulan Ramadhan. Solat isya 4, sunat baadiah 2, terus teraweh 8 dan akhiri witir 3. Sudah 17 rakaat, selama 30-40 minit setiap malam.
.
Siapa yang follow imam teraweh ekspres 15 minit sahaja terlepas dari kelebihan khasiat ini.

Dr Suhazeli Abdullah


8.6.2017
Marang

Pautan:
[1] Prevalence ED in Malaysia. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1875686711600213
[2] Rahsia ibadah solat. http://www.majalahsains.com/membongkar-rahsia-ibadat-solat-secara-saintifik/

P/s: *Lepas ni penuh semula sof solat yang mulai rongok..*😉