NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Johor bakal tanding 17 kerusi Parlimen, 40 Dun




JOHOR BAHRU (Bernama) -- PAS akan bertanding di 17 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata pihaknya sudah mengenalpasti kesemua kerusi berkenaan, namun, nama-nama kerusi terbabit belum boleh didedahkan buat masa ini.

"Kita (PAS) telah buat perbincangan dalam hadapi PRU kali ini iaitu memutuskan untuk bertanding di 17 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di negeri ini berbanding lapan kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN pada PRU lepas.

"Calon-calon yang akan bertanding pula terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ulama, profesional, aktivis masyarakat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Johor di sini.

Abdullah yang juga anggota DUN Puteri Wangsa berkata pihaknya sudah bersedia menghadapi PRU dengan persiapan maksimum dan hanya menunggu 'wisel' dibunyikan.

"Walaupun PAS dalam keadaan bersendirian dan tidak bekerjasama dengan parti lain, ia tidak bermakna kita (PAS) akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Johor kerana kita ada perkiraan dan pertimbangan tersendiri," katanya.-- BERNAMA



© all rights reserved
made with by templateszoo