Header Ads

Pandangan dunia terhadap Amerika Syarikat berubah, memberi peluang kepada China



Sebuah agensi berita minggu ini melaporkan bahawa pandangan masyarakat terhadap Amerika Syarikat berubah dengan drastik sejak Donald Trump dipilih sebagai Presiden.

Lebih 40,000 orang di 37 negara telah ditemuduga oleh satu pusat penyelidikan dan hanya mereka di dua negara yang melihat bekas Presiden Barack Obama adalah lebih baik dari Trump. Negara-negara itu adalah Israel dan Russia.

Malah sekutu tradisi Amerika di Eropah, Jerman, juga menganggap Eropah tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada Amerika. Perkara ini dinyatakan oleh Chancellor Jerman, Angela Merkel setelah bertemu Trump.

Menurut kajian tersebut hanya 11% rakyat Jerman yang yakin kepada Trump berbanding 86% yang yakin kepada Obama.

Kajian itu juga menunjukkan lebih separuh responden di 26 dari 37 negara menganggap Trump sebagai bahaya.

Di negaranya sendiri majoriti rakyat tidak yakin kepada Trump. Hanya 39% rakyat yang percaya beliau sedang menjalankan tugas dengan baik. Di kalangan rakyat kulit hitam pula hanya 7%.

Perubahan pandangan masyarakat antarabangsa akan memberi ruang kepada saingan kepada Amerika untuk mengambil alih tempat kuasa besar dunia itu. Hari ini negara China sedang giat menjalinkan hubungan dengan negara-negara membangun dan negara-negara dunia ketiga.

China sebagai sebagai sebuah kuasa ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan lagi telah membuat pelaburan dan memberikan pinjaman yang besar kepada negara-negara tersebut.

Kekuatan ekonomi dan hubungan yang dijalin akan menjadikan negara itu kuasa ketenteraan yang susah hendak dicabar. Akhirnya akan wujud satu blok baru dan negara-negara di dunia dipaksa memilih di antara Amerika atau China.

Trump yang mahu membuat Amerika kembali hebat telah menyebabkan ia kehilangan pengaruh.(MediaFikir)