NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Paku dan minyak untuk kaut keuntungan segera.


Berhati-hati ketika memandu terutamanya pada selekoh, tempat yang sunyi atau apabila mengesan terdapat kelainan pada permukaan jalan. Mungkin ada paku, mungkin ada minyak atau perkara-perkara yang memudaratkan kenderaan anda.Sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan, jangan terus menerima tawaran orang yang pertama tiba di tempat kejadian. Mungkin mereka bertanggungjawab di atas kemalangan yang berlaku. Bertenanglah terlebih dahulu. Jika di lebuhraya, telefon peronda lebuhraya atau pihak Polis. Sentiasa simpan nombor-nombor penting di kawasan-kawasan yang anda lalui.

Mereka yang balik ke kampung untuk berhari raya telah mula pulang ke rumah masing-masing sejak hari Selasa lepas. Kemuncaknya adalah pada hujung minggu ini di mana lebuhraya dan jalanraya ke bandar-bandar besar akan menjadi penuh sesak.

Di dalam keghairahan mereka untuk pulang ke rumah dan kembali bertugas pada hari Isnin, mereka yang memandu kenderaan diingatkan agar berhati-hati. Bukan sahaja kerana kemalangan boleh berlaku akibat memandu laju atau kecuaian tetapi akibat tindakan mereka yang mahu mengaut keuntungan di atas kecelakaan yang menimpa orang lain.


Sebelum ini, paku dan minyak sering digunakan untuk menyebabkan kemalangan atau kerosakan kepada kenderaan. Paku ditabur di atas jalan dan minyak dituang ke atas jalan.

Setelah berlaku kemalangan atau kerosakan maka dengan tiba-tiba muncul pula pihak yang akan menawarkan pertolongan. Tetapi ia bukan percuma. Harga yang ditawarkan adalah berkali-kali ganda dari harga di bengkel atau oleh mekanik biasa.

Malah kadang-kala yang tidak rosak dikatakan rosak. Yang rosak sedikit dikatakan tidak boleh diselamatkan. Ugutan dan kekerasan sering digunakan untuk memaksa pemilik kenderaan menerima perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah lebih parah jika ditarik ke bengkel. Pemilik tidak ada pilihan. Jika tidak dibayar, kenderaan akan ditahan. Harga yang diletakkan selalunya tidak masuk akal.

Oleh itu, berhati-hati ketika memandu terutamanya pada selekoh, tempat yang sunyi atau apabila mengesan terdapat kelainan pada permukaan jalan. Mungkin ada paku, mungkin ada minyak atau perkara-perkara yang memudaratkan kenderaan anda.

Sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan, jangan terus menerima tawaran orang yang pertama tiba di tempat kejadian. Mungkin mereka bertanggungjawab di atas kemalangan yang berlaku. Bertenanglah terlebih dahulu.

Jika di lebuhraya, telefon peronda lebuhraya atau pihak Polis. Sentiasa simpan nombor-nombor penting di kawasan-kawasan yang anda lalui.

Ramai yang telah terkena dengan taktik-taktik seperti ini. Hanya mereka yang berhati-hati akan terlepas dari perangkap yang dipasang.

Seorang guru Zahriezan Jamaluddin, 35 tahun dari Taman Cheras Indah, Selangor pernah mendapati tayar keretanya koyak apabila hendak memulakan semula perjalanan setelah berhenti di kawasan Rehat Dan Rawat Pagoh di Lebuhraya Utara Selatan. Beliau terkejut kerana  sebatang paku besar telah mengakibatkannya.

Beliau telah menukar sendiri tayar tersebut walaupun terdapat trak tunda (tow truck) yang menawarkan perkhidmatan untuk menunda kereta beliau ke bengkel.

Seorang pesara DBKL, Mat Saad Hj Nasir, 68 tahun dari Taman Muda, Ampang, Selangor turut menceritakan pengalaman yang dilalui oleh kawannya selepas berhenti di kawasan Rehat Dan Rawat Bidor juga di Lebuhraya Utara Selatan.

Setelah memulakan perjalanan, kawan beliau mendapati suhu enjin kereta menjadi teramat panas. Terdapat pihak yang menawar untuk menarik kereta beliau ke bengkel. Beliau enggan menerima tawaran tersebut dan telah menelefon seorang mekanik yang beliau kenali.

Alangkah terkejut apabila rakan mekanik beliau mendapati penutup air enjin beliau telah dibuka dan airnya telah kering. Ini yang menyebabkan suhu enjin naik secara mendadak.

Setelah penutup itu dipasang semula dan air diisi, kawan beliau telah dapat meneruskan perjalanan seperti biasa. Bayangkan apa akan terjadi jika kereta kawan beliau dibawa ke bengkel.

Seorang Imam di Kg Pandan, Selangor juga telah menceritakan pengalaman beliau menaiki motorsikal di Lebuhraya Persekutuan dekat Shah Alam. Wan Abdullah Shahir, 28 tahun, pernah mendapati lorong motorsikal yang disediakan ditabur dengan paku dan disimbah dengan minyak. Jika tidak berhati-hati kemalangan boleh berlaku.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah apabila pulang dari kampung. Kebanyakan trak tunda dan mekanik tidak terlibat dengan amalan terkutuk ini tetapi terdapat segelintir yang bagai nila setitik merosakkan santan sebelanga. Pastikan setelah anda bergembira di Hari Raya ini, anda akan pulang dengan selamat. (1Media.my)                        
© all rights reserved
made with by templateszoo