Header Ads

MENJELANG 10 RAMADAN: BADAN DAH LETIH, NAFSU MULA MENUNJUKKAN BELANG


Kehadiran ke masjid dan surau mula berkurangan. Badan semakin letih dan penat, nafsu mula menunjukkan belang dan mempamerkan sikapnya yang sebenar. Kalau iman tidak kuat, nafsu akan menang.



Oleh: Dr. Muhamad Faisal Ashaari

Nafsu mula menampakkan wajahnya yang sebenar setelah 10 hari berpuasa. Ia mula malas, berasa letih dan penat, rasa tidak cukup rehat, maklumlah siang bekerja, malam tidur lewat, bangun pula awal pagi. Tambahan pula apabila makan banyak selepas jam 11 malam, rasa penat dan liat akan bertambah-tambah.

Pada 10 hari yang pertama, semangat kita membara dan mampu menundukkan nafsu untuk melaksanakan ibadat. Setiap malam kita kuat melaksanakan Solat Tarawih hingga 10 malam dan pada setiap pagi pula kita bangun jam 5 pagi untuk bersahur. Akan tetapi, menjelang malam ke 10 Ramadan, semangat semakin menurun.

Setelah badan letih dan fizikal kita dilemahkan dengan tidak makan, nafsu mula mengada-ngada. Kononnya, ia inginkan rehat dan berasa berat untuk melakukan ibadat. Semangat semakin pudar tinggal lagi keimanan sahaja yang menjamin kita terus istiqamah dalam ibadat. Mulalah ada yang meninggalkan Solat Tarawih atas alasan kononnya letih dan penat.

Iman dan nafsu sentiasa berlawan antara satu sama lain. Sama ada iman menang atau nafsu yang menang. Beruntunglah orang yang beriman yang kuat dan dapat mengalahkan nafsunya.

Oleh sebab itu, menjelang 11 Ramadan, kehadiran ke masjid dan surau mula berkurangan. Badan semakin letih dan penat, nafsu mula menunjukkan belang dan mempamerkan sikapnya yang sebenar. Kalau iman tidak kuat, nafsu akan menang. Ketika itu, kita gagal untuk memperoleh hikmah dari Ramadan.

Walau bagaimanapun, memang ada yang memang kerjanya pada siang hari sangat memenatkan. Namun, ada yang buat-buat penat. Apapun, jadikan Ramadan sebagai bulan untuk menewaskan nafsu sehingga 30 Ramadan. Kalau bulan Ramadan pun sudah tewas, pada 11 bulan lagi, memang bungkus awal-awal lagi.

http://myfaisalonline.blogspot.my