Header Ads

Kabinet setuju tubuh RCI siasat kerugian forex BNM




Oleh: FMT Reporters
June 21, 2017

Hasil laporan pasukan petugas khas yang dibentangkan hari ini mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.


PETALING JAYA: Kabinet hari ini bersetuju dengan syor pasukan petugas khas (PPK) yang mengesyorkan terdapat keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan siasatan mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata hasil laporan PPK yang dibentangkan hari ini mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM akibat dagangan mata wang asing dalam tempoh tersebut.

“Penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi di bawah Akta 119.

“Penubuhan RCI ini juga adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan awam di mana kerugian sebenar BNM akibat urus niaga mata wang asing melibatkan rizab negara dapat dipastikan

“Ini ialah kerana siasatan awal PPK mendapati jumlah kerugian adalah lebih besar daripada apa yang telah dilaporkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen,” kata PMO menerusi kenyataan hari ini.

PMO berkata hasil laporan PPK juga mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan jemaah menteri dan Parlimen.

“Penubuhan RCI ini seterusnya diharap mampu merangkaikan isu ini yang membelenggu negara sejak 23 tahun lalu,” katanya.

PPK ditubuhkan 15 Februari lalu dan dipengerusikan bekas ketua setiausaha kerajaan Tan Sri Sidek Hassan. Ia ditubuhkan bagi menyiasat kerugian yang dialami bank pusat itu antara 1991 dan 1993.


Awal Februari lalu, bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat itu mengalami kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.