Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

TN50: Drama tampar dan tendang depan Najib



Pengarah filem David Teo dikasari di depan Datuk Seri Najib Razak semasa sesi dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya malam ini.

Semasa sesi khusus untuk industri seni itu, Teo pada mulanya menyatakan tidak puas hati terhadap cara pengendalian pengarah dan pelakon Datuk Rosyam Nor sebagai pengacara majlis itu.

“Ini (pentas) Datuk Seri bulat. Datuk Rosyam Noor kena adil saksama.

“Semua dia kena bagi tengok mata dia, jangan tengok depan sahaja,” katanya.
Rosyam Nor yang bertindak sebagai pengerusi majlis kemudian meminta Teo menjaga tingkah laku dan menggunakan peluang bercakap untuk mengemukakan pandangan.

Mereka kemudian saling jawab menjawab antara satu sama lain.

Rosyam: You jangan komen bagaimana I ini.... I bagi you satu minit untuk bagi idea.

Teo: Biar kita cakap terus terang.

Rosyam: You di depan perdana menteri. Kamu kena behave (jaga kelakuan). Faham?

Teo: Tadi cakap tak payah serius.

Rosyam: Tadi Datuk Seri cakap tak payah serius kan?

Najib: Tak apa, tak apa.

Teo: OK saya mulakan Datuk Seri. Orang kata sekali itu ombak sampai ke pantai, selalu pantai itu...

Belum habis beliau bercakap, seseorang mirip pelakon komedi popular Mat Over berjalan sambil menuding jari ke arah Teo dan memarahinya.

Pelakon komedi itu kemudian kelihatan menampar Teo tetapi tidak kena kerana ditahan oleh Teo.

Teo juga kelihatan menendang kembali ke arah Mat Over tetapi turut tersasar.

Najib selepas itu memainkan peranan mendamaikan mereka dengan meminta kedua-dua pihak bersalaman.

Insiden itu disiarkan secara langsung di Facebook Najib tetapi tidak diulang siar.

Selepas ketegangan itu, Rosyam kedengaran berkata “dia itu memang kurang ajar daripada dulu” kepada Najib.

Rosyam juga meminta maaf atas apa yang berlaku.

“Relaks, ini masalahnya. Saya sebagai moderator rasa malulah. Yang amat berhormat perdana menteri jemput datang ke rumah nak dengar persoalan.

“Dan kalau saya nak layan satu dewan ini mungkin jadi masalah Datuk Seri.

“Jadi saya bagi pihak penggiat industri seni memohon maaf sangat-sangat, mungkin Datuk Seri kita boleh carry on,” katanya.

Najib yang kelihatan tenang kemudian menjawab: OK, carry on.