Header Ads

Tiada Serangan Perisian Tebusan Di Malaysia – MCMC



PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata tiada serangan perisian tebusan dilaporkan di Malaysia, walaupun serangan siber dilaporkan berlaku di hampir 100 negara.

“MCMC terus memantau keadaan itu bersama-sama agensi penguatkuasaan lain,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, MCMC menasihati rakyat Malaysia supaya segera mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengemaskinikan perisian masing-masing dengan jujukan (patch) terkini.

“Ia untuk memastikan semua hos membolehkan penggunaan penyelesaian antiperisian hasad serta segera menyalin data penting kepada pemacu keras luaran atau perkhidmatan penstroran awan, sekiranya mereka belum berbuat demikian.

“Di samping itu, jangan klik sebarang pautan meragukan dan laporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa dengan secepat mungkin,”kata MCMC.

Menurut laporan, serangan siber perisian tebusan melanda organisasi di seluruh dunia dan antara pihak yang paling terus terjejas ialah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di England. – BERNAMA