NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada rombakan exco di Selangor - Azmin


RAWANG: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata beliau sudah memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan keputusan PAS untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, beliau turut memberi jaminan kepada Sultan barisan pentadbiran kerajaan negeri tidak akan berubah sehingga pilihan raya yang akan datang.

“Tidak ada (Tidak ada mengadap Sultan secara rasmi). Saya mengadap Tuanku dalam majlis hari inilah.

“Ia tanggungjawab saya untuk maklumkan… kebetulan tidak mengadap di Istana tetapi di majlis ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Masjid Perodua di sini, sebentar tadi.

“Saya beri jaminan bahawa tanggungjawab saya dan kerajaan negeri untuk jaga kestabilan pentadbiran negeri dan memastikan mandat yang diberi rakyat dalam pilihan raya yang lepas mesti dilaksanakan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14),” katanya lagi.

Azmin sementara itu mengulangi pendiriannya bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri ‎walaupun PAS tidak lagi bekerjasama politik dengan PKR di Selangor.

Majlis Syura Ulama semalam mengumumkan kerjasama politik bersama PKR terbatal atas alasan parti itu banyak melanggar syarat-syaratnya.

Pagi tadi Azmin bermesyuarat dengan tiga exco PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi termasuk Pesuruhjaya baru bagi negeri itu iaitu Sallehen Mukhyi.

Beliau yang menyifatkan PAS sudah menutup pintu perbincangan turut memaklumkan bahawa PKR tidak akan mengadakan perjumpaan dengan parti membincangkan keputusan tersebut.

“Tidak ada rancangan untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat sebab saya dimaklumkan beliau (Presiden PAS Abdul Hadi Awang sedang berehat ada masalah kesihatan.

“Tidak juga ada perbincangan sebab PAS yang ambil keputusan memutuskan hubungan dengan PKR,” ujar beliau.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo