NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahaluf Siyasi Terbatal Angkara PKR



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Reaksi pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan khususnya PKR terhadap keputusan Majlis Syura Ulamak PAS mengenai terbatalnya tahaluf siyasi antara PAS – PKR menunjukkan kegagalan mereka memahami aspek hukum yang menjadi prinsip parti Islam ini.

Malah, kenyataan-kenyataan terkini mereka yang bernada andaian dan kebingungan serta menganggap keputusan itu ‘tidak masak’ seolah-olah melupakan syarat tahaluf yang terbatal oleh sebab antaranya:

1. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355;

2. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

3. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Berikut ini disenaraikan sebahagian tindakan dan pendirian PKR yang membawa kepada berakhirnya tahaluf siyasi dua parti ini:

5 Disember 2013: Bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin memfailkan saman RM2 juta terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah memfitnahnya semasa kempen PRU13.

9 Januari 2015: Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir membidas kesediaan PAS mengenepikan agenda politik bersama Umno demi membantu rakyat negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir hingga tertubuhnya Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir antara kerajaan negeri itu dan Kerajaan Persekutuan.

19 Mac 2015: PKR dalam satu kenyataan mendakwa Kerajaan PAS Kelantan tidak menghormati persetujuan yang dicapai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu undang-undang hudud._

23 Mac 2015: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, sekiranya RUU Persendirian Pindaan Akta 355 berkait dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, PKR tetap dengan pendirian asal iaitu tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh al-Awlawiyat, maslahat ummah dan Maqasid Syariah.

30 Mac 2015: PKR dan DAP Sabah dalam satu kenyataan bersama mengisytiharkan bahawa mereka telah memutuskan hubungan dengan PAS kerana bertegas mahu melaksanakan hudud._

27 Julai 2015: Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding antara di tiga kerusi Dun yang sebelum ini ditandingi PAS iaitu Dun Gambir (Ledang), Dun Puteri Wangsa (Tebrau) dan Dun Permas (Pasir Gudang).

4 September 2015: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menganggap PAS memperjudikan dan mencagar wanita menerusi lafaz baiah cerai taklik untuk kepentingan politik serta menyifatkan PAS parti mundur dan hidup zaman jahiliyah.

6 September 2015: Pengerusi Biro Agama PKR, Dr Mohd Nor Manuty menegaskan bahawa PAS telah melanggar prinsip syariah apabila mengenakan baiah cerai taklik kepada calon pilihan rayanya yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam.

15 Oktober 2015: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bahawa PAN akan bertanding menggantikan kerusi PAS dan jumlah kerusi akan dikurangkan untuk diagihkan kepada DAP dan PKR yang akan meletakkan calon Melayu khasnya kerusi Parlimen.

13 Jun 2016: Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi kempen calon PAN pada PRK Sungai Besar dan menyeru pengundi memilih PAN sebagai referandum kepada BN. Kenyataannya itu dilihat mencabar seruan Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad yang terdahulu menyebut bahawa undian kepada calon PAS adalah referandum kepada BN.

13 Jun 2016: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan PAN mempunyai reputasi lebih baik untuk melayakkan calonnya pada PRK Sungai Besar ke Parlimen.

21 Oktober 2016: Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa pihaknya akan menyatakan pendirian berhubung RUU355 hanya setelah PAS membentangkannya di Parlimen.

10 Januari 2017: Mesyuarat Biro Politik PKR memutuskan untuk tidak menyertai Himpunan Menyokong RUU355 di Padang Merbok yang akan dianjurkan PAS pada 18 Februari.

6 April 2017: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menuduh PAS menerima dana 1MDB berikutan kejayaan Presiden PAS membentangkan RUU Persendirian Pindaan Akta 355 di Parlimen.

7 April 2017: Pemimpin PKR Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, terdapat perkara lebih besar dan lebih banyak perlu dilakukan tanpa mempolitikkan agama melalui RUU 355 yang disifatkan Akta itu tidak sepatutnya dibentangkan sehingga menyebabkan bukan Islam marah, seluruh rakyat berpecah belah dan berlaku perpecahan di dalam Islam.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo