NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahaluf: PKR dan PAS perlu terima hakikat yang telah berlaku sebelum ini



1. Penantian banyak pihak dalam isu Tahalluf Siyasi PAS dengan PKR telah mencapai kemuncaknya apabila Majlis Syura Ulamak PAS mengumumkan keputusannya pada petang Khamis, 11 Mei 2017.

2. Sebelum pada itu, Muktamar PAS kali ke 63 yang berlangsung di Kedah telah sebulat suara menyokong usul memutuskan hubungan tahalluf siyasi PAS dengan PKR dan merujuk kepada Majlis Syura untuk membuat ketetapan akhir.

3. Kenyataan rasmi yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dato' Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Saleh menyatakan bahawa;

"1. Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyaasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaaluf Siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal.

Antara perlanggaran tersebut ialah:

a. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

2. Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat."

4. Hasil daripada keputusan ini, banyak pihak yang memberi responbalas khususnya yang berkait dengan isu kedudukan PAS dalam Kerajaan Selangor. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Dato' Seri Azmin yang juga MB Selangor dalam respon awalnya menyatakan kedudukan PAS kekal dalam Kerajaan Negeri Selangor sehingga PRU 14. Begitu juga Exco DAP. Dato' Teng Chang Kim juga berpandangan bahawa tidak ada masalah untuk Exco PAS kekal dalam Kerajaan Negeri.

5. Namun, pada masa sama, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim pula mendesak agar PAS dikeluarkan segera daripada Kerajaan Negeri Selangor. Kelihatannya, mereka sudah tidak sabar untuk bergelar Exco dan mengisi segala kekosongan jawatan lain di semua peringkat.

6. Keputusan PAS memutuskan hubungan Tahalluf Siyasi dengan PKR ini merupakan suatu langkah yang tegas dan berani. Sememangnya, ia adalah kehendak akar umbi PAS di segenap peringkat yang dibawa ke Muktamar PAS dan seterusnya dinilai pula daripada sudut hukum syarak oleh Majlis Syura Ulamak PAS, badan tertinggi yang mengawal dasar dan halatuju PAS.

7. PKR ditubuhkan pada 04 April 1999, parti ini dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (KeADILan) kemudian ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada Februari 2003. Dalam sejarahnya, PKR sememangnya membina hubungan yang begitu rapat dengan PAS bermula ketika era gelombang Reformasi yang membentuk Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Seterusnya, PKR bersama dengan PAS, DAP dan PRM membentuk Barisan Alternatif menjelang Pilihan Raya Umum ke 10 pada tahun 1999. Dalam PRU itu, PKR menang 5 kerusi Parlimen. Ketikamana DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001, PKR tetap kekal bersama PAS dalam Barisan Alternatif. Ketika Pilihan Raya Umum ke 11 pada tahun 2004, PKR hanya menang 1 kerusi Parlimen iaitu Permatang Pauh.

8. Pada tahun 2008, PKR bersama PAS dan DAP membentuk pula Pakatan Rakyat setelah Pembangkang berjaya bangkit dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 12. PKR memperoleh 31 kerusi Parlimen dalam PRU tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, PKR memperoleh 30 kerusi Parlimen. Namun, usia Pakatan Rakyat tidak kekal lama apabila DAP secara bersendiri mengumumkan bahawa PR terbubar pada 16 Jun 2015.

Selepas pada itu, hubungan PKR dengan PAS kian renggang apatah lagi apabila PKR memilih untuk bersama DAP dan PAN membentuk pula Pakatan Harapan pada 22 September 2015.

9. Umum mengetahui, dalam PKR adanya pimpinan yang begitu keras seperti mahu bermusuh dengan PAS, dan ada juga pimpinan PKR yang agak lunak kepada PAS. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Tian Chua kelihatannya bersikap lebih terbuka dan boleh berbincang dengan PAS. Tetapi, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula bersikap lebih suka menyerang dan memfitnah PAS. Jadi, bagaimana mungkin PAS boleh terus bersabar dengan keadaan sedemikian rupa.?

10. Hari ini, Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim pula mengirim warkah dari Penjara Sungai Buloh bagi menyatakan pendiriannya mengenai keputusan Majlis Syura Ulamak PAS. Anwar seperti juga Wan Azizah dan pemimpin PKR yang lain menafikan PKR mengkhianati prinsip tahaluf siyasi. Saya pun tidak pasti adakah mereka sedar akan apa yang berlaku dalam parti mereka sendiri.?

11. Terdapat 3 sebab yang dinyatakan oleh Majlis Syura Ulamak PAS. Mari kita hurai satu-persatu agar PKR dapat faham dan terima hakikat.

a) Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355;

- Adakah Anwar tidak tahu bahawa precouncil Ahli Parlimen PKR pada pagi sebelum pembentangan RUU 355 sudah memutuskan untuk menolak RUU 355? Ia didedahkan sendiri oleh YB PKR Kelana Jaya di FB nya.

- Adakah Anwar tidak tahu antara yang bangun di dalam Dewan mempertikai dan menentang pembentangan RUU 355 ialah Ahli Parlimen PKR Gopeng dan Alor Setar?

- Adakah Anwar tidak tahu bahawa YB Rafizi menjadi penganjur sidang Parlimen olok-olok bagi membahaskan RUU 355 yang disiar di FB secara live.? Rakyat dapat menyaksikan sendiri pendirian Ahli Parlimen PH yang menentang dan memperlekeh RUU 355.

- Kenyataan rasmi Anwar berkenaan RUU 355 tidak diendahkan oleh pimpinan PKR sendiri. Ini hakikatnya.

b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

- Adakah Anwar tidak tahu bahawa pemimpin PKR khususnya YB Rafizi dan Saifuddin si Penasihat Ketua Menteri Lim Guan Eng itu saban hari menyerang dan memfitnah PAS kononnya PAS berpakat dengan UMNO dan menjadi pembela PM Najib?

- Adakah Anwar tidak tahu si YB Rafizi yang memfitnah PAS menerima dana 1 MDB sehingga sekarang tidak tampil mengemukakan bukti.? Hanya pandai memfitnah dan mendesak orang menyamannya.

c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

- Adakah Anwar tidak tahu adanya pemimpin PKR yang datang berceramah di Kelantan dan berikrar bersama PAN untuk jatuhkan Kerajaan PAS di Kelantan?

- Adakah Anwar tidak tahu bahawa kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar itu telah pun ditandingi PAS dalam PRU ke 13 yang lalu. PAS bertanding menentang UMNO.

Jadi, mengapa apabila PAS bertanding di kerusi tradisinya dituduh sebagai pengacau sedangkan PAN yang baru lahir itu yang datang menyibuk?

12. Semoga penjelasan ini sedikit-sebanyak dapat membantu PKR belajar menerima hakikat bahawa tiada lagi hubungan Tahalluf Siyasi PAS dengan PKR. PRU 14 ini adalah pilihan raya pertama yang akan dihadapi oleh PKR tanpa memerlukan bantuan jentera PAS lagi.

PKR sepatutnya lebih yakin untuk berhadapan dengan PRU 14 nanti kerana PKR telah memilih untuk bersama dengan DAP, PAN, PPBM dalam Pakatan Harapan yang dikatakan sudah cukup kuat untuk menawan Putrajaya tanpa PAS.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
13 Mei 2017

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo