NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa sebenarnya pengacau perjuangan PAS?

Yang nyata PAS ada acara, pemikiran dan strategi sendiri untuk menghayati politik Islam yang diidamkan.


Oleh Zainal Salleh

Siapa kacau siapa? PAS mengacau peluang kemenangan pilihan raya Pakatan Harapan atau pakatan itu sebenarnya yang “menaja” Parti Amanah Negara untuk mengacau PAS mencapai cita-citanya memenangi pilihan raya umum sendirian?

Di segi ideologi perjuangannya, PAS nampaknya semakin jelas – ia bukan parti cauvinis seperti DAP atau assabiyah seperti Umno dan juga bersikap liberal seperti PKR dan pendendam seperti PPBM.

PAS memilih untuk bergerak bersama dua parti politik kecil Berjasa dan Ikatan Rakyat Malaysia serta beberapa Badan Bukan Kerajaan yang digelar Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRU 14 akan datang.

Bersandarkan konsep ‘matang dan sejahtera’ PAS jelas siapa saingannya dalam menawarkan khidmat politik pada negara dan rakyat Malaysia. Pertama sekali PAS mempersiapkan diri menentang dan merobohkan monopoli kuasa Umno-BN.

Kemudian ia mensasarkan bergelut dengan DAP yang sentiasa mencurigai perjuangan Islamnya dan fobia pada apa jua ciri perjuangan Islam. Setelah itu PAS sentiasa berhati-hati terhadap Amanah yang ‘mengkhianati’ perjuangannya.

Perihal PKR, akar umbi PAS sudahpun menyuarakan ketidakpercayaan mereka terhadap parti pimpinan Anwar Ibrahim yang dilihat cenderung pada pemikiran liberal dan terbukti tidak menyokong perjuangan Islamnya.

Sementara itu PAS melihat PPBM parti yang dipasung rasa dendam. Ia cuma mahu menyemarakkan kemarahan rakyat pada kerajaan supaya rasa benci melimpah dan membakar hegemoni kerajaan Umno-BN.

PAS insaf apa yang disasarkannya adalah satu tanggungjawab yang amat berat. Ia seolah-olah bermusuhan dengan semua parti politik lain. Namun PAS yakin ia mampu menggalas tugas itu kerana rekodnya bersih.

Melihat ketegaran PAS yang enggan bekerjasama demi menjayakan politik kemenangan yang diidamkannya, parti-parti pembangkang bersilih ganti mula menyerang PAS.

Sisi utama yang ditumpukan ialah menumpulkan rekod cemerlang dan bersih PAS di segi integritinya. Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyebarkan dakyah bahawa pimpinan PAS kini menerima dedak politik daripada Umno.

Taburan dakwaan itu diharap melata dan sebelum ia mendap di hati rakyat, PKR pula melangkah ke tengah gelanggang dengan mengemukakan apa yang kononnya “bukti” bahawa PAS menerima dedak jutaan ringgit melalui orang tengah.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengemukakan akuan bersumpah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kononnya orang tengah yang menyampaikan dedak itu ialah Datuk Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS.

Sebenarnya, Mahathir mahupun Rafizi mengutip “butir-butir” pendedahan mereka daripada laporan Sarawak Report. Bagaimanapun PAS mendedahkan dalam muktamarnya yang baru lalu, bahawa ia telahpun memulakan tindakan saman terhadap akhbar berkenaan.

PAS juga berjanji akan menggerakkan tindakan saman Rafizi. PAS yakin Rafizi cuma mahu mengumpul markah politik dan menggapai cita-cita politik jangka pendek partinya seperti mana beliau pernah mendakwa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terpalit rasuah hanya untuk menurunkan beliau dari kerusi Menteri Besar.

Yang nyata PAS ada acara, pemikiran dan strategi sendiri untuk menghayati politik Islam yang diidamkan. Maka bagaimana pula ia boleh dituduh pengacau? PAS tahu ada ruang untuknya berpolitik caranya sendiri.

Namun apabila setiausaha agung Amanah Mohd Anuar Tahir mendakwa PAS pengacau acara DAP, PKR, PPBM dan Amanah berpolitik, maka ia menyerlahkan betapa rupanya Amanah benar ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

Ini kerana bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang kini Presiden Amanah sendiri tidak dapat menahan nafsu untuk melaungkan kecurigaannya bagaimana PAS yang suatu masa dahulu parti miskin kini mempunyai pemimpin yang kaya?

Ini mengingatkan umum kepada kertas siaran A4 yang membuat pelbagai tuduhan mengenai cara hidup dua pemimpin PAS berdasarkan kereta mewah mereka.

Sindiran Mat Sabu remeh jika dibandingkan dengan penampilan Amanah sejak setahun lalu sebagai sebuah parti oren yang lengkap dan moden dengan pendekatan pengurusan yang mewah.

Daripada mana pula G-18 (bekas pemimpin PAS yang membentuk Amanah) mengumpul dana yang begitu besar hingga ‘mengkerdilkan’ penampilan PAS yang umumnya dilihat jauh lebih miskin?

Maka bermula daripada PPBM yang mendakwa PAS makan dedak, hingga PKR yang menokok dengan akuan bersumpah PAS memang ada menerima dedak hinggalah parti kenit, Amanah menyindir ada pemimpin PAS kaya, ia adalah simpulan hasad membenci PAS.

Kini tertakluk pada keputusan Majlis Syuranya sama ada memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR atau tidak yang membawa makna PAS yakin, nekad dan redha berperang di gelanggang PRU 14 sendirian, tuduhan dan cemuhan daripada parti politik lain akan terus bertompok di dahi PAS.

PAS mahu terus menasihati, berdakwah dan menawarkan khidmat kepemimpinan Islam pada ummah. Pegangan tuntas:

“Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka dengan azab yang amat keras?’. Mereka menjawab: ‘Agar kami mempunyai alasan (pelepasan tanggungjawab dengan Tuhanmu dan supaya mereka bertakwa’”. Al A’araf: 164)

Antarapos.com
© all rights reserved
made with by templateszoo