Header Ads

Selangor: PKR akur kehendak Menteri Besar untuk kerajaan yang stabil



KENYATAAN MEDIA

Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.

Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato' Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali.

Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.

Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato' Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

23 Mei 2017