Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Selangor: Barisan EXCO Status Quo - Istana



Kedudukan barisan exco kerajaan negeri Selangor masih status quo sehingga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, setakat ini, baginda tidak menerima maklumat secara rasmi berkenaan kedudukan tiga exco PAS itu.

“Sehingga saat ini juga, pihak istana tidak menerima apa-apa surat rasmi daripada kerajaan negeri. Saya difahamkan Mohamed Azmin sekarang berada di luar negara," kata Mohamad Munir yang dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau mengulas soalan apakah Sultan Selangor sudah dimaklumkan mengenai kedudukan exco kerajaan negeri Selangor rentetan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Azmin kini di Belgium atas urusan rasmi dan dijangka pulang Ahad ini. Beliau juga tidak hadir pada mesyuarat Biro Politik PKR malam semalam yang memutuskan kedudukan exco PAS dalam kerajaan negeri akan hanya dibuat sekembalinya dari lawatan rasmi ke luar negara.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, hanya Sultan Selangor boleh mengarahkan ketiga-tiga exco PAS berkenaan meletakkan jawatan.

Beliau dilaporkan berkata, Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib akan kekal memegang jawatan selagi diperkenan sultan.

Kedudukan exco PAS dalam kerajaan negeri menjadi persoalan apabila PAS pada muktamarnya pada Apri lalu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ini kemudiannya dimuktamadkan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada awal Mei lalu bahawa hubungan PKR terputus selepas mendakwa begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan.