NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor bakal berubah?




Oleh: Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

MUKTAMAR PAS ke-63 yang meluluskan usul tahaluf siyasi dengan PKR di Selangor putus. Ini menyebabkan kedudukan kerajaan negeri PKR Selangor tergugat. Meskipun, PAS tetap memegang jawatan penting dalam Kerajaan Selangor. Situasi ini sebenarnya boleh difahami apabila Pakatan Harapan hanya mempunyai 30 kerusi berbanding 26 kerusi yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas.

Malahan PKR Selangor kini berpecah kepada dua kem. Kem Menteri Besar Azmin Ali yang menginginkan kerjasama dengan PAS diteruskan. Kem Rafizi Ramli yang ingin memutuskan kerjasama dengan PAS. Beliau menganggap apabila PAS sudah bekerjasama dengan Umno, BN maka PAS bukan lagi rakan taulan yang boleh dipercayai oleh Pakatan Harapan.

Melalui keputusan Muktamar PAS ke-63 sebenarnya mampu memberikan satu ruang yang mempunyai dua pilihan bagi sebuah kerajaan negeri yang kuat. Pilihan pertama adalah membubarkan Dun Selangor tetapi ini bukan satu pilihan terbaik. Situasi blok pembangkang antara Pakatan Harapan dan PAS telah semakin renggang disebabkan isu Rang Undang-Undang 355. Parti Amanah Negara kurang mampu menggantikan kedudukan PAS di Selangor. Hanya DAP menjadi pilihan untuk PKR Selangor.

Hal ini sememangnya dijangka kerana menurut kajian Invoke oleh Rafizi, menyatakan sebahagian besar ahli-ahli PKR dan DAP tidak akan mengundi Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dalam kajian ini, hanya 61% pengundi PKR menerima Amanah berbanding 80.4% pengundi Amanah menerima PKR. Bagi pengundi PKR, menerima Bersatu adalah 66.3% berbanding pengundi Bersatu menerima PKR 80.3%. Manakala pengundi DAP hanya 65.5% menerima Amanah dan 81.5% pengundi Amanah menerima DAP. Bagi pengundi DAP menerima Bersatu adalah 61.4% berbanding pengundi Bersatu menerima DAP adalah 69.8%. Jelas menunjukkan bahawa jika Dun Selangor dibubarkan dalam masa terdekat majoriti kerusi Amanah dan Bersatu akan terjejas disebabkan antara 30% hingga 40% pengundi-pengundi DAP dan PKR tidak akan mengundi Amanah dan Bersatu.

Kajian ini menunjukkan keikhlasan sebenar PKR dan DAP terhadap Amanah dan Bersatu. Situasi ini mengajak bahawa mahu tidak mahu Amanah dan Bersatu perlu bergabung tenaga dalam satu parti bagi membentuk kekuatan diri dalam Pakatan Harapan. Jika situasi gabungan Amanah dan Bersatu tidak berlaku maka pilihan yang ada ialah sebahagian pengundi PKR dan DAP akan mensabotaj calon-calon Amanah dan Bersatu di Selangor dalam PRU14.

Tambahan pula pengundi dan keahlian PAS antara 25% hingga 35% dalam 14 Dun Selangor iaitu Taman Templer, Ulu Klang, Gombak Setia, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun Tua, Bangi, Sri Serdang, Taman Medan, Paya Jaras, Meru, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat.

Manakala keahlian dan pengundi Umno antara 25% hingga 35% di 15 Dun Selangor iaitu Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Ulu Bernam, Batang Kali, Sungai Burong, Permatang, Bukit Melawati, Kuang, Semenyih, Kajang, Kota Damansara, Kota Anggerik, Batu Tiga dan Sementa.

Jika diamati gabungan ahli dan pengundi Umno dan PAS dalam 29 Dun mempunyai peluang lebih cerah kerana perpaduan itu melebihi 50%. Malahan, perkara sedemikian tidak termasuk jika ahli dan pengundi Umno dan PAS bergabung menentang Pakatan Harapan yang mempunyai 25% hingga 35% di 4 Dun Selangor iaitu Ijok, Bukit Antarabangsa, Pelabuhan Klang dan Sri Muda.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa penguasaan ke atas Kerajaan Negeri Selangor akan lebih baik jika adanya bantuan dan sokongan daripada komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan. Mahu tidak mahu pembubaran Dun bukanlah pilihan terbaik. Pilihan kedua tidak berpihak kepada kerajaan negeri PKR Selangor iaitu terdapat ahli-ahli Pakatan Harapan yang keluar dari parti Pakatan Harapan dan mengisytiharkan bebas. Kemungkinan ini boleh berlaku hanya tiga atau empat ahli Dun Pakatan Harapan Selangor. Andai kata perkara ini berlaku, maka kekuatan dan keampuhan Pakatan Harapan bakal terjejas dengan tiadanya Selangor. BN dan PAS akan mendapat kelebihan dalam PRU14 nanti.

Antara faktor yang mampu menyebabkan ahli-ahli Pakatan Harapan keluar parti iaitu isu rasuah dan permasalahan perebutan untuk menjadi calon-calon PRU14. Ini telah menyebabkan perpecahan dalam Pakatan Harapan. Tambahan pula, keikhlasan hati turut dipersoalkan antara sesama parti dalam Pakatan Harapan. Situasi ini boleh dibuktikan apabila kenyataan Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei yang tidak membenarkan Amanah dan Bersatu bertanding di Selangor dan Pulau Pinang. Hal ini menunjukkan bahawa kehadiran Amanah dan Bersatu tidak dihargai oleh PKR dan DAP di Selangor.

Maka, jika berlaku kerajaan baharu dalam masa terdekat di Selangor adalah tidak mustahil dan bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan Pakatan Harapan, BN dan PAS.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/dr-iskandar-hasan-tan-abdullah/selangor-bakal-berubah-1.671039
© all rights reserved
made with by templateszoo