Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PPBM Perak mula bergolak



KENYATAAN BERSAMA 

21 KETUA BAHAGIAN PPBM NEGERI PERAK
KETUA DAN BARISAN PIMPINAN ARMADA NEGERI PERAK
KETUA DAN BARISAN PIMPINAN SRIKANDI NEGERI PERAK
2 TIMBALAN KETUA BAHAGIAN

PPBM PERAK MENYOKONG PENUH TAN SRI MUHYIDDIN SEBAGAI PRESIDEN – MENOLAK PENGKHIANAT PARTI

1. Saya selaku Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Perak bersama 21 Ketua Bahagian PPBM Negeri Perak dan 2 Timbalan Ketua Bahagian hari ini ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

2. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan En Azrul Suhadi Bin Mokhtar yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Pendaftar PPBM Perak. Untuk makluman, jawatan tersebut telah terbubar secara rasminya pada 31 Mac 2017. Beliau adalah Ketua Penaja Bahagian Ipoh Timor bersama En. Jemaat Bin Yacob, Ketua Penaja Bahagian Teluk Intan telah menyatakan kononnya mereka mewakili seluruh bahagian PPBM Negeri Perak mendesak supaya Presiden PPBM Tan Sri Muhyidin Yassin meletakkan jawatan. Perkara ini adalah tidak benar sama sekali. 


3. Ternyata mereka tidak mewakili seluruh kepimpinan PPBM negeri Perak dan hanya merupakan segelintir individu yang kecewa, sambil sanggup menjadi alat kepada individu berkepentingan. Mereka telah terpesong daripada perjuangan parti yang sebenar dan hanya berniat untuk memecahbelahkan parti.

4. Malang sungguh di sebalik matlamat perjuangan PPBM untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional dan memperjuangkan hak rakyat, timbul pula segelintir individu di dalam PPBM yang keutamaannya adalah untuk memperjuangkan agenda peribadi dan memusnahkan parti. 

5. Mereka inilah sebenarnya kumpulan pengkhianat parti yang merupakan duri dalam daging dan musuh dalam selimut yang mempunyai niat buruk terhadap parti. Kami percaya kumpulan ini telah terpesona dengan janji manis seseorang. Setelah gagal menunaikan janji, pucuk pimpinan telah ditohmah bagi menyelamatkan diri. Individu yang bersikap seumpama pepatah 'baling batu, sembunyi tangan' ini, mendendangkan lagu perjuangan. Hakikatnya, beliau adalah pemakan dedak, mengharapkan habuan dengan tindakan adu domba.

6. Inilah akibatnya apabila perasaan tamak haloba telah menguasai diri. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan parti hanya untuk memastikan mereka dapat berkuasa dan membolot habuan. Mereka juga tanpa segan silu menggunakan nama YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM untuk menghalalkan tindakan jahat mereka sedangkan merekalah yang sedang meruntuhkan perjuangan ikhlas dan murni YABhg Tun Dr Mahathir dari dalam parti. Kepentingan siapakah yang diperjuangkan oleh kumpulan ini selama ini? Kepentingan parti atau kepentingan peribadi?

7. Dengan begitu mudah mereka menuduh dan membuat onar terhadap Presiden parti seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku. Tindakan mereka itu jelas satu pengkhianatan kepada parti dan penghinaan kepada ahli-ahli PPBM yang ikhlas berjuang untuk menyelamatkan negara.

8. Kami mendesak supaya mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tan Sri Muhyidin Yassin. Kami juga mendesak kumpulan ini supaya berundur dan melepaskan jawatan mereka, sesuai dengan kelantangan mereka melafazkan kata-kata desakan dan ancaman untuk keluar parti kerana nyata sekali mereka inilah pengkhianat parti dan telah lari dari perjuangan parti yang sebenar. Sekiranya mereka gagal membuat pernyataan maaf, tindakan mengikut Perlembagaan parti diambil ke atas mereka demi menjaga keharmonian dan perpaduan parti

9. Saya memohon jasa baik Dato’ Hamidah Osman, Naib presiden dari Perak yang telah mengangkat ikrar sumpah taat setia kepada kepimpinan PPBM membawa perkara ini ke Majlis Presiden untuk tindakan lanjut.Saya percaya dengan pengaruh dan pengalaman politik, Dato Hamidah Osman akan mampu menyelesaikan isu ini.

10. Saya ingin menyeru kepada pemimpin dan akar umbi parti untuk memperkukuhkan saf dan memberi fokus kepada program dan gerakerja parti yang telah disusun untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. 

11. Musuh kita yang utama ialah Najib Razak dan kroni-kroninya yang telah menyusahkan rakyat, merosakkan imej negara dan mencalar maruah Malaysia yang dahulunya disegani oleh dunia tetapi kini menjadi sebuah negara kleptokrat yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang rakus mencuri khazanah negara. Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar daripada melayani karenah segelintir individu pengkhianat parti yang kecewa dan rendah moral.

12. Memetik daripada sajak terkemuka hasil nukilan YABhg Tun Dr Mahathir yang bertajuk, Perjuangan Belum Selesai, katanya, "hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya".


Kepada Allah, kami berserah

Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tambun
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tg Malim
Ketua Armada Negeri
Ketua Srikandi Negeri
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bukit Gantang
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Padang Rengas
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Sg.siput
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Kampar
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Kuala Kangsar
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bagan Serai
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Pasir Salak
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Lumut
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tapah
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bagan Datoh
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Parit
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Lenggong
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Ipoh barat
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Taiping
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Larut
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Gerik
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Batu Gajah
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Parit Buntar
Timbalan Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Gopeng
Timbalan Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Teluk Intan