Header Ads

Menjelang PRU 14, BN mula serang parlimen Marang



MARANG: Senario politik ketika ini memberi gambaran semua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan melibatkan pertembungan 3 penjuru, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan PAS yang mahu bersendirian dan tidak lagi menyertai pakatan pembangkang turut meningkatkan keyakinannya parti itu akan meletakkan calonnya untuk bertanding dan menjurus kepada pertandingan 3 penjuru.

“Ekosistem dan senario politik telah berubah, dahulu seolah-olah kita berada dalam sistem 2 parti iaitu Barisan Nasional (BN) lawan pembangkang…kini di tengah-tengahnya ada PAS.

“Hampir pasti di semua kerusi akan hadapi (pertandingan) 3 penjuru. Kepastian ini kerana Majlis Syura Ulama PAS telah memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR dan (sebelum ini memutuskan hubungan dengan) DAP, mereka (PAS) akan bersendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Himpunan Rakyat dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Marang, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan pemimpin kerajaan negeri.

Berikutan itu, Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata, ahli parti komponen BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana pertembungan 3 penjuru bukanlah laluan mudah dan segala kemungkinan boleh berlaku.

“Jangan pernah leka dan selesa dengan 3 penjuru…jangan fikir 3 penjuru lebih mudah. Kita perlu bekerja keras dalam menghadapi situasi ini pada pilihan raya akan datang kerana kita yakin musuh politik kita mahu melihat kita kecundang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan
Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN memutuskan menghormati pendirian PAS untuk bergerak sendirian, namun akan terus mengadakan kerjasama yang mampu memberi kelebihan kepada orang Melayu dan Islam.

“Hari ini terdapat kenyataan daripada pihak pembangkang yang sengaja menyalahkan Umno kerana tidak membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1955 atau Akta 355 di Parlimen, dan mempersoalkan keputusan PAS memutuskan hubungan baik dengan PKR,” katanya.

Kenyataan sedemikian katanya, adalah strategi pembangkang yang sengaja mencetuskan spekulasi untuk mengeruhkan keadaan berhubung kerjasama yang sudah berlangsung, namun BN akan tetap terus menyokong perjuangan PAS berkaitan agama dan bangsa.

Dalam pada itu, Zahid mengumumkan Jentera Jalinan Rakyat akan menjadi jentera utama dalam membantu gerakan PRU14 dan meminta semua ahli Umno dan komponen BN memberikan sokongan padu.

“Kita (BN) mesti terus kekalkan kerusi yang kita menangi dan tambah majoriti…kita harus lakukan sesuatu dan rampas kerusi daripada pembangkang. Kita mesti fokus…zaman sabotaj, zaman berkecil hati telah berlalu,” katanya.

Beliau juga mahu jentera itu memberi penerangan serta mengambil pendekatan berkesan dalam memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi BN.

Perhimpunan hari ini menarik penyertaan kira-kira 15,000 orang dari sekitar daerah Marang.