Header Ads

Mengapa saya buat laporan polis ke atas Hannah Yeoh ? - Dr Kamarul



Pada 17 Mei 2017, jam 600 pagi, saya berada di rumah, membaca buku tulisan Hannah Yeoh bertajuk “Becoming Hannah”. Buku ini dicetak oleh Vinlin Press Sdn Bhd yang beralamat di 2, Jalan Meranti Permai 1, Meranti Permai Industrial Park, Batu 15, Jalan Puchong, 47100 Puchong, Selangor. Ia diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre yang beralamat di No 2, Jalan Bukit 11/2, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

Saya membeli buku ini kerana ia berada di rak terbuka sebuah gedung buku dan kerana saya tahu penulisnya ialah seorang ahli politik yang menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya dan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Pada hemat saya, disebabkan penulisnya seorang ahli politik, tentulah kandungan buku ini akan banyak menyentuh pembabitan penulisnya dalam bidang politik, iaitu bidang kajian saya.

Bagaimanapun, saya terkejut bila mendapati buku ini mengandungi terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible, Kitab yang menjadi pegangan penganut agama Kristian. Saya berpendapat bahawa buku ini merupakan satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderong kepada agama Kristian.

Apa yang ditonjolkan di dalam buku ini adalah penganut agama Kristian adalah insan yang beruntung dan Tuhan agama Kristian adalah Tuhan yang kasih, baik dan adil. Diceritakan betapa Hannah Yeoh sering menerima “prophecy” (pengetahuan mengenai masa depan) tepat dari Tuhan beliau, termasuk bahawa suatu hari nanti beliau akan bekerja bersama negarawan dan pemerintah (“I would someday work among statesmen and rulers”, muka surat 109).

Diceritakan juga betapa Tuhan Hannah Yeoh sering mendatangkan keajaiban dengan memberi bantuan di dalam bentuk yang tidak disangka-sangka tatkala beliau sangat memerlukan. Ini antara lainnya terjadi di dalam kempen pilihan raya (muka surat 50-51), di dalam memenuhi hasrat hati beliau (“the desires of my heart”) dan di dalam memenuhi hasrat material beliau (“the material desires I had”), termasuklah dari segi kewangan (muka surat 108-109).

Kesemua cerita ini boleh mendorong pembacanya, termasuk saya, merasa kagum dengan kehebatan Tuhan Hannah Yeoh. Sedangkan pada masa lain beliau selitkan pula catatan mengenai ajaran Kristian yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuklah bahawa manusia adalah, anak Tuhan (“His beloved Child” dan “Child of God”, muka surat 22 dan 89) dan Isa/Jesus adalah anak Tuhan dan Tuhan (“the Son of God” dan “God”, muka surat 102).

Hannah Yeoh memang bermaksud supaya buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian. Ini tergambar di dalam tulisan beliau berbunyi “Jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini” (“If you are not a Christian and are reading this book”, muka surat 14). Ini selari dengan pendedahan mengenai misi beliau sebagai duta Tuhan dan untuk mencari pengikut (“as “ambassador of God” and to make disciples of others”, muka surat 7).

Hakikat bahawa Hannah Yeoh memang memaksudkan buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian juga terbukti kerana buku ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja, termasuklah yang beragama Islam. Ini diakui sendiri oleh Hannah Yeoh di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini “boleh dibeli secara atas talian di www.gerakbudaya.com atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times”.

Oleh itu, Hannah Yeoh mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.

Selain itu, Hannah Yeoh juga mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

Ini kerana terdapat bukti bahawa tulisan dalam buku Hannah Yeoh ini mendatangkan keresahan di kalangan umat Islam di negara ini. Apatah lagi bila Hannah Yeoh sendiri mendedahkan betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau (“my political office”) untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda (“to preach at churches, to world leaders and to young people”, muka surat 108).

Begitu juga seruan Hannah Yeoh agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia (“God wants to reclaim politics and public service in Malaysia”, muka surat 110), ditambah tindakan beliau mengaitkan diri dengan cita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam (“aims to bring Christian faith and service to the public sphere”).

Di dalam satu wawancara yang dimuatnaik oleh laman web Islamic Renaissance Front pada 7 September 2012, seorang pengkaji Evangelical Christianity di Malaysia, Dr Chris Chong, bersetuju bahawa DAP mempunyai pengikut besar di kalangan Kristian evangelical, dan Hannah Yeoh disebutkan sebagai satu contoh baik mengenainya, di mana kawasan pilihan raya beliau didakwa mempunyai bilangan gereja per kapita paling banyak di Malaysia.

Saya sendiri pernah mendengar luahan kawan-kawan beragama Islam yang sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Hannah Yeoh ini kerana ia dikatakan bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan selain bertentangan dengan Perkara XLVIII(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Negeri.

Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atas beliau di bawah Enakmen dan Kanun ini dan/atau di bawah mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

Sekianlah laporan saya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM.
17.05.2017