Header Ads

Masih adakah kuasa veto Raja-Raja Melayu?



Had Kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Untuk Perkara Perundangan (Legislative) 

Melalui pindaan Perlembagaan yang dibuat pada 1983, 1984 dan 1994, kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja boleh dipintas oleh proses perundangan melalui pindaan Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan. 

Perlembagaan Persekutuan sebelum 1983, membenarkan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, jika tidak bersetuju atau berkenan dengan sesuatu undang-undang yang hendak diwartakan, diberikan kuasa memberi nasihat, memberi amaran atau menangguhkan proses kelulusan undang-undang tersebut tanpa had masa yang ditetapkan. 

Kuasa untuk menangguhkan proses kelulusan sebelum ini disalah anggap ramai pihak sebagai Kuasa Veto Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Ia hanyalah satu kuasa untuk menangguhkan proses kelulusan undang-undang tanpa had masa penangguhan ditetapkan. 

Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum tahun 1983, tidak menyatakan had masa tempoh penangguhan yang dibenarkan. Ianya ditetapkan oleh tradisi, resam (convention) dan pertimbangan yang waras. Walau bagaimanapun, selepas pindaan dibuat kepada Artikel 66 tersebut, had masa 30 hari telah ditetapkan sebagai tempoh had masa maksimum sesuatu proses kelulusan undang-undang boleh ditangguhkan. 

Artikel 66 (4) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan Akta 885) Yang Di-Pertuan Agong hendaklah di dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada baginda memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Rang Undang-Undang itu dicapkan dengan Mohor Besar. 

Artikel 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan Akta 885) Jika sesuatu Rang Undang-Undang itu tidak diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya. Melalui pindaan-pindaan ini, selepas tempoh 30 hari penangguhan, bersetuju atau tidak, Rang Undang-Undang yang dikemukakan dan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen, akan “diluluskan” oleh Yang Di-Pertuan Agong. 

Kuasa menangguhkan ini yang selama ini diberikan tanpa had masa, telah disalah anggap ramai pihak sebagai kuasa Veto Yang Di-Pertuan Agong. Ia sebenarnya hanyalah kuasa untuk menangguhkan tanpa had masa yang ditetapkan sehingga pindaan dibuat pada 1983, 1984 dan 1994. Tetapi Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa Veto atau kuasa membuat kata pemutus dalam perkara-perkara penting dalam Perlembagaan. 

Kuasa Veto Majlis Raja-Raja Untuk Perkara Penting Perlembagaan Majlis Raja-Raja mempunyai Kuasa Veto untuk 11 perkara yang terkandung dalam Artikel 2 (b), 38 (b) dan 159 (4) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa Veto Majlis Raja-Raja ini tidak dihadkan atau terkesan kepada pindaan Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah disebutkan di atas. 

Pindaan Artikel 66 Hanya Untuk Proses Kelulusan Rang Undang-Undang dan Bukan Pindaan Perlembagaan Pindaan Artikel 66 tersebut hanya melibatkan proses kelulusan perundangan biasa dan tidak melibatkan sebarang proses pindaan perkara-perkara Perlembagaan. 

Penulisan ini secara spesifik ingin membawa perhatian kita semua kepada Artikel 159 (4) Perlembagaan Persekutuan. Artikel 159 (4) Perlembagaan Persekutuan: Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Perkara 10 (4) , undang-undang yang diluluskan dibawahnya, peruntukan Bahagian 3, Perkara 38, 63 (4), 70, 71 (1), 72 (4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. 

Akta Hasutan 1948 merupakan undang-undang yang terletak di bawah Perkara 10 (4) Perlembagaan Persekutuan. Keabsahan kewujudan Akta Hasutan 1948 yang merupakan undang-undang yang dibuat sebelum Hari Merdeka diiktiraf kewujudan serta keabsahannya oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 162. Walaubagaimanapun, masih terdapat pihak-pihak yang mahu supaya Akta Hasutan 1948 ini dimansuhkan. 

Semua pihak perlu diingatkan kembali tentang Kuasa Veto Majlis Raja-Raja dalam 11 Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. Jangan sesekali melangkaui had yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. 

Read more at: https://www.menara.my/kuasa-veto-raja-raja-melayu/