Header Ads

Kelantan: Tiada ahli PKR hantar surat letak jawatan lantikan politik



SALMAH MAT HUSAIN 22 MAY 2017

KERAJAAN Kelantan sehingga sekarang belum menerima surat 'hitam putih' berkaitan peletakan jawatan sebagai anggota majlis pihak berkuasa tempatan dalam kalangan ahli PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri masih memberi ruang kepada mereka.

"Setakat ini kita tidak terima apa-apa hitam putih termasuk daripada wakil PKR yang sudah mengangkat sumpah di beberapa majlis daerah,” katanya selepas majlis angkat sumpah ahli majlis, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini.

MDPP menyediakan tiga tempat kepada pemimpin PKR untuk dilantik sebagai ahli majlis. Bagaimanapun mereka tidak hadir mengangkat sumpah hari ini.

Abdul Fattah juga berkata, kerajaan negeri masih bersikap terbuka dan berharap mereka dapat berkhidmat bersama-sama sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Bagi kita selagi tidak ada surat rasmi perletakan jawatan maka pelantikan itu kekal,” ujarnya.

Sehingga sekarang seramai 37 wakil dari PKR dilantik sebagai ahli majlis di seluruh PBT di Kelantan. – HARAKAHDAILY