Header Ads

Jangan kaitkan insiden 'tampar Mejar Zaidi' dengan PAS




Oleh Ainor Rahim

SHAH ALAM: Jangan kaitkan PAS dengan insiden Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mejar Zaidi Ahmad ditampar ketika himpunan aman anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu, Jumaat lalu. 

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata himpunan aman itu memang dipimpin oleh bekas Ketua Pemuda PAS negeri itu, namun ia tidak bermakna Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mewakili parti PAS. 

Malah Fauzi memberitahu sejak Hafiz tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam PAS, bekas pemimpin parti itu amat dikenali sebagai pemimpin Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP). 

"Pasal apa nak kait dengan PAS. Isu yang berlaku semua orang tahu dah, isu yang mereka tuntut berkenaan dengan fatwa. Jadi isu ini memanaskan umat Islam termasuk NGO-NGO. Jadi NGO dia bertindak sendiri, tiada berkaitan dengan PAS. 

"Kita tidak ada kena mengena dengan NGO itu. Itu NGO punya. Ustaz Hafiz ini bukan baru, dia ini. Dia bekas Ketua Pemuda lama dah. Dia dah diketahui terlibat dengan NGO," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 

Usai solat Jumaat minggu lalu, video Zaidi ditampar oleh seorang penyokong JMPP tular di laman sosial. 

Zaidi dikasari selepas dikatakan cuba membuat provokasi ketika Hafiz sedang berucap di luar Masjid Simpang Enam, bagi membantah campurtangan kerajaan negeri dalam urusan fatwa oleh muftinya. 

Zaidi ketika ditemui pemberita berkata beliau hanya bertanyakan soalan namun dikasari seorang daripada penyokong NGO itu. 

Beliau bagaimanapun tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap individu itu. 

Selepas video Zaidi tular, banyak pihak menyatakan rasa kurang senang dan ada yang mengaitkan insiden itu dengan PAS.