Ikut Sarawak, Sabah Perlu Ada Menteri Pendidikan Sendiri - 1Media.My

Header Ads

Ikut Sarawak, Sabah Perlu Ada Menteri Pendidikan Sendiri



Ketua Pemuda, Parti Warisan Sabah, Mohd Azis Jamman mendesak kerajaan negeri mengikut jejak langkah kerajaan negeri Sarawak memperkenalkan porfolio menteri baharu bagi pendidikan dalam usaha mendapat autonomi yang lebih besar.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Azis berkata, langkah yang diambil Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg membuktikan ianya tidak mustahil untuk kementerian negeri mewujudkan porfolio baharu walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Langkah tersebut juga adalah untuk memastikan generasi akan datang di kedua-dua negeri Borneo mendapat pendidikan yang sempurna untuk kekal berdaya saing dan berdikari," katanya.

Azis menambah, dengan adanya fungsi pendidikan di kementerian negeri juga akan melengkapkan dasar pendidikan persekutuan disamping mengawasi sistem pendidikan di negeri sendiri.

"Oleh itu, kedua-dua negeri Malaysia Timur dapat memastikan institusi akademik dan universiti memberi fokus yang tepat untuk keperluan industri tempatan,"ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kota Belud berkata, melalui sistem pendidikan tersendiri dapat memberi penekanan kepada pengajaran sejarah Sabah, dan membina sahsiah pelajar dengan menyerap nilai-nilai budaya dan adat istiadat negeri ini.

"Malah, kerajaan negeri juga dapat memberi perhatian lebih kepada peningkatan penggunaan Bahasa Inggeris khususnya dalam sistem pendidikan," jelasnya. - Sarawakiana