NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Husam tak sah sebagai Naib Presiden PAN?



Ada yang bertanya saya mengenai keabsahan perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara kerana ia didakwa dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Mohd Anuar Tahir, di dalam Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianjurkan oleh parti itu di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) pada 9 April lalu.

Mengikut Mohd Anuar Tahir, perlantikan Datuk Husam Musa, yang juga Penasihat Parti Amanah Negara Kelantan, sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara itu berkuatkuasa pada hari itu (9 April lalu) dan selaras dengan usul yang dipersetujui dalam Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara pada 10-11 Disember 2016.

Saya sebenarnya tidak berapa gemar untuk mencampuri urusan dalaman Parti Amanah Negara ini, apatah lagi kerana parti ini dikatakan dibarisi oleh ramai pemimpin yang mempunyai latar belakang undang-undang, tetapi bagi menghormati rakan yang bertanya maka inilah sedikit sebanyak komen umum saya mengenai perkara ini.

Untuk menentukan sama ada perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara adalah sah atau tidak, dua perkara berikut perlulah dikenal pasti:

(1) Apakah Datuk Husam Musa sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara adalah salah seorang daripada 25 Ahli Jawatankuasa Pusat yang dipilih oleh Kongres Tahunan Parti atau adalah salah seorang daripada 5 ahli tambahan Jawatankuasa Pusat yang dilantik oleh Presiden dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat? Ini kerana Fasal 56 Perlembagaan Parti Amanah Negara dengan jelas menyebut bahawa “2 orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Agung, seorang Timbalan Setiausaha Agung, seorang Bendahari Agung, seorang Setiausaha Organisasi, seorang Pengarah Komunikasi, seorang Pengarah Pilihan Raya, seorang Pengarah Strategi, dan seorang Pengarah Kepimpinan” hendaklah dilantik dari kalangan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat.

(2) Apakah perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara adalah dibuat oleh Presiden dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat? Ini kerana Fasal 56 Perlembagaan Parti Amanah Negara sekali lagi dengan jelas menyebut bahawa “2 orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Agung, seorang Timbalan Setiausaha Agung, seorang Bendahari Agung, seorang Setiausaha Organisasi, seorang Pengarah Komunikasi, seorang Pengarah Pilihan Raya, seorang Pengarah Strategi, dan seorang Pengarah Kepimpinan” hendaklah dilantik oleh Presiden dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat.

Kehendak dalam kedua-dua perkara ini adalah terkandung di dalam Fasal 56 Perlembagaan Parti Amanah Negara yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 Oktober 2015 yang berbunyi: “The Annual Party Congress shall elect a Central Committee every 3 years consisting of 25 members. The members of the Central Committee shall from amongst their number elect a President, a Deputy President and 3 Vice Presidents. The President in turn shall appoint 5 additional members of the Central Committee with the approval of the Central Committee. The President shall appoint from among the Central Committee members; 2 Vice Presidents, A Secretary General, A Deputy Secretary General, a Treasurer General, an Organising Secretary, a Communication Director, an Election Director, a Strategy Director, and a Leadership Director, with the approval of the Central Committee.”

(Terjemahan Fasal 56 Perlembagaan Parti Amanah Negara: "Kongres Tahunan Parti hendaklah memilih satu Jawatankuasa Pusat setiap 3 tahun yang terdiri daripada 25 ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah dari kalangan mereka memilih seorang Presiden, seorang Timbalan Presiden dan 3 orang Naib Presiden. Presiden pula hendaklah melantik 5 ahli tambahan Jawatankuasa Pusat dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat. Presiden hendaklah melantik dari kalangan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat; 2 orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Agung, seorang Timbalan Setiausaha Agung, seorang Bendahari Agung, seorang Setiausaha Organisasi, seorang Pengarah Komunikasi, seorang Pengarah Pilihan Raya, seorang Pengarah Strategi, dan seorang Pengarah Kepimpinan, dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat.”)

Jika kehendak dalam kedua-dua perkara ini dipenuhi maka perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara adalah sah, tetapi jika kehendak dalam kedua-dua perkara ini tidak dipenuhi maka perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara adalah tidak sah.

Pada hemat saya, keraguan mengenai perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara ini berlaku kerana:

(1) Tiada sebarang pengumuman pernah dibuat mengenai perlantikan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara, apa yang pernah dibuat hanyalah pengumuman mengenai perlantikan beliau sebagai Penasihat Parti Amanah Negara Kelantan yang bukanlah melayakkan beliau berada di dalam Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara.

(2) Pengumuman mengenai perlantikan Datuk Husam Musa tidak menyatakan bahawa ia adalah dibuat oleh Presiden dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat dan hanya dibuat oleh Setiausaha Agung selepas berlangsungnya Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bukan selepas berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo