NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Awang Tengah dilantik Timbalan Ketua Menteri Sarawak


Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan rombakan Kabinet yang pertama selepas beliau mengambil alih jawatan itu pada Januari lepas.


Beliau menamakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk
Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai timbalannya yang baharu, menjadikan kesemuanya tiga Timbalan Ketua Menteri.


Dua lagi Timbalan Ketua Menteri ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Abang Johari bercakap kepada media selepas merasmikan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK).


Beliau turut mengumumkan pelantikan dua menteri - Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Datuk Talip Zulpilip yang turut dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri.


Muka baharu dalam rombakan Kabinet itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol sebagai Menteri Muda yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Korporat, serta ADUN Balai Ringin dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak, Snowdan Lawan yang dilantik
sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan.

Abang Johari turut menamakan semula Kementerian Kewangan sebagai Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi serta Kementerian Pembangunan Bandar sebagai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, yang kedua-duanya dipimpin beliau.


Selain itu, beliau turut menamakan semula Kementerian Pemodenan Pertanian kepada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah yang diterajui Uggah.


Sementara itu, Abang Johari melantik bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Dr Wong Soon Koh untuk mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan manakala bekas Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Datuk Seri Michael Manyin kini dilantik Menteri Pendidikan,
Sains dan Penyelidikan Teknologi.


Masing dan tiga lagi menteri iaitu Datuk Seri Dr Stephen Rundi, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian dan Datuk Fatimah Abdullah kekal dalam kementerian masing-masing.


Mengulas mengenai pelantikannya, Awang Tengah berkata beliau tidak menjangkakan perkara itu.


"Ini satu tanggungjawab baharu dan saya akan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman itu.


Sementara itu, Abdullah berkata portfolio beliau bukanlah perkara baharu buatnya kerana beliau datang daripada dunia korporat sebelum menyertai politik pada 2011 dan berharap akan melakukan yang terbaik.


Kedua-duanya juga mengucapkan terima kasih kepada Abang Johari di atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka.


Dalam pada itu, Awang Tengah turut bertanggungjawab bagi Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan serta Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar dan dua menteri baharu itu dijangka mengangkat sumpah di Astana esok.


- Bernama


© all rights reserved
made with by templateszoo