30 perserta 'igak ike' - 1Media.My

Header Ads

30 perserta 'igak ike'



Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


KIRA-KIRA 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu hadir program Menimba, Igak Ike (tangkap ikan) dan Berkelah di lubuk ikan Jal Kechik di Tumpat, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program itu menggabungkan generasi baru dan lama, dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakyat.

Katanya, program ini juga membangkitkan nostalgia kepada golongan lama dalam menimba ikan, selain kaedah digunakan akan jadi pengetahuan buat golongan muda yang tidak pernah melihatnya.

"Kira-kira 1,000 orang hadir menyaksikan program hari ini, namun 30 peserta yang berusia tujuh hingga 60 tahun mengambil bahagian dalam aktiviti menangkap ikan yang bermula seawal 7.30 pagi.

"Alhamdulillah, kehadiran penduduk hari ini di luar jangkaan malah penduduk di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas turut datang untuk melihat sendiri cara tradisional menangkap ikan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, ikan yang ditangkap dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung di situ.

"Kerjasama yang diberikan cukup baik dan perancangan selama lima hari untuk menganjurkan program ini berjalan dengan lancar.

"Insya-Allah, kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan dan berharap generasi muda dapat menyertainya lagi pada masa hadapan," katanya.