Rakyat Menilai Gelagat Ahli Parlimen Sanggah RUU355 - 1Media.My

Header Ads

Rakyat Menilai Gelagat Ahli Parlimen Sanggah RUU355

Suasana lempar-melempar 'hujah' mahkamah kedengaran dalam Dewan Rakyat saat giliran Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.



KUALA LUMPUR - "(Sidang) Parlimen kali ni dah macam mahkamah lah pula," tegur Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Suasana lempar-melempar 'hujah' mahkamah kedengaran dalam Dewan Rakyat hari ini saat giliran Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, hari ini.

Sebaik sahaja Abdul Hadi bangun untuk membentang usul RUU 355, beberapa ahli parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao-Leung dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, bangun membantah usul yang bakal dibentang.

Kekecohan yang berlaku juga turut memperlihatkan beberapa ahli parlimen lain turut bangun bertingkah sesama sendiri.

Keadaan ini memaksa Abdul Hadi yang sudah bersedia untuk membentang usul tersebut bangun dan duduk beberapa kali tatkala ahli parlimen lain bangun membantah bidang RUU tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kelihatan turut mencelah beberapa kali bagi menghentikan bantahan yang dibuat pembangkang terhadap usul RUU 355.

Katanya, Pandikar tidak perlu membuang masa 'melayan' kerenah ahli parlimen pembangkang hanya tahu membantah tanpa mendengar hujah Abdul Hadi terlebih dahulu.

"Buang masa saja (layan ahli parlimen pembangkang), Tan Sri (Pandikar). Kami ahli parlimen lain tunggu hingga jam 5 pagi untuk selesaikan usul, yang lain hanya tahu buang masa.

"Masa itu emas, Tan Sri, silakan!" katanya meminta Pandikar membenarkan Abdul Hadi meneruskan proses pembentangan usul.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul turut bangun menyelar Kit Siang yang tidak henti bangun untuk membantah pembentangan usul terbabit.

"Gelang Patah ni makin tua, makin gila!" bidasnya sebelum disambut dengan bantahan lantang ahli parlimen yang lain.

Pandikar selepas itu 'memaksa' ahli Parlimen lain membenarkan Abdul Hadi berucap menyampaikan usul dengan 'mengugut' untuk menghalau mana-mana ahli parlimen yang bangun sebelum Presiden Pas itu menyelesaikan mukadimah usulnya.

"Terlampau banyak kertas di sini (di atas meja). Kamu (ahli-ahli parlimen) buat saya dah macam hakim.

"Ya baiklah Marang teruskan usul, mana-mana ahli parlimen yang bangun selepas ini saya akan iring keluar dari Dewan," katanya dengan tegas.---SINARHARIAN