NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Punca masalah negara kerana tinggalkan Islam: Presiden PAS

Agama kini dianggap urusan peribadi tanpa hidayah dan dipisahkan daripada urusan duniawi, manakala politik pula dianggap urusan dunia dan peluang untuk meraih kepentingan peribadi dan puak. Ekonomi negara pula yang diurus secara tidak adil sehingga mencetuskan kesusahan kepada hidup rakyat, apabila rompakan harta di kalangan orang tertentu, sehingga berlaku penyalahgunaan kuasa dan harta negara diambil secara salah.


KOTA SARANG SEMUT, 2 Syaaban 1438H, Sabtu – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, punca semua masalah yang dihadapi sama ada di dalam negara atau di seluruh dunia adalah kerana meninggalkan Islam.

Beliau berkata, agama kini dianggap urusan peribadi tanpa hidayah dan dipisahkan daripada urusan duniawi, manakala politik pula dianggap urusan dunia dan peluang untuk meraih kepentingan peribadi dan puak.

Katanya, ekonomi negara pula yang diurus secara tidak adil sehingga mencetuskan kesusahan kepada hidup rakyat, apabila rompakan harta berpusing di kalangan orang tertentu sahaja, sehingga berlaku penyalahgunaan kuasa dan harta negara diambil secara salah.

“Maka berlaku kebocoran daripada pendapatan negara sedangkan majoriti rakyat berpendapatan rendah semakin terbeban dengan harga barang keperluan yang makin meningkat.

“Kerajaan mengambil jalan penyelesaian secara mudah tanpa kajian menyeluruh, lalu meningkatkan kadar cukai sedia ada atau melaksanakan cukai baru seperti GST.

“Maka berlaku kesan sampingan dengan peningkatan inflasi. Kekurangan pendapatan dan sempitnya peluang pekerjaan sehingga membebankan kehidupan rakyat apabila pendapatan tidak lagi mampu menampung kos sara hodup yang tinggi, tabungan terjejas dan hutang isi rumah melebar,” katanya dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, segala punca masalah itu adalah kerana meninggalkan Islam lalu merosakkan diri sendiri apabila melawan ciri-ciri fitrah manusia, memisahkan jasad daripada akal dan roh, memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama.

“Ada yang cuba meninggalkan nas yang nyata dari al-Quran dan as-Sunnah, dengan menjadikan maqasid syariah, siyasah syar’iyyah dan fiqh aulawiyat dan seumpamanya untuk mencari alasan meminggirkan Islam dalam kehidupan.

“Maka dicarilah pandangan dan tafsiran longgar dari kalangan Islam yang berfikiran begini untuk dijadikan hujah yang diulangi dia atas nama Islam. Pada masa yang sama kalangan penentang Islam bersorak gembira menumpang sama menyebar luaskan hujah begini tanpa sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menolak dan mengabaikan politik moden yang meminggirkan al-Quran dan as-Sunnah.

“Ada di kalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur. Mereka dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup,” katanya.

Abdul Hadi juga kesal apabila ada di kalangan parti politik yang berlumba-lumba menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar Islam dalam kalangan rakyat beragama Islam di negara ini

“Mereka saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolah-olahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini,” katanya.---ismaweb
© all rights reserved
made with by templateszoo