NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Tidak Akan Sesekali Tunduk

MUKADIMAH

APRIL mungkin boleh dianggap bulan bermakna kepada DATUK SERI ABDUL HADI AWANG. Sebagai Ahli Parlimen Marang, beliau mencatatkan sejarah apabila membentangkan Rang Undangundang 355 di Dewan Rakyat pada 6 April lalu, manakala pada 11 April pula, beliau diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PAS.

Sememangnya kedua-dua peristiwa itu amat bererti kepada ulama berusia 70 tahun tersebut, apatah lagi ia dicapai ketika PAS dan beliau sendiri diasak dengan pelbagai ‘serangan’ politik.

Dalam wawancara secara e-mel dengan Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, Presiden PAS tersebut menjawab pelbagai isu yang melumuri parti tersebut termasuklah hubungan dengan UMNO dan Pakatan Harapan serta Muktamar PAS Kali Ke-63 di Alor Setar, hujung bulan ini.

KEMENANGAN SEBAGAI PRESIDEN PAS

MINGGUAN: Tahniah Datuk Seri atas kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PAS. Apakah komen Datuk Seri berhubung kemenangan ini?

ABDUL HADI: Ini suara ahli PAS, sebelum ini saya telah maklumkan, saya serahkan kepada ahli PAS untuk menentukan kedudukan saya dan kepemimpinan PAS. 

Dengan kepercayaan ini, saya dengan penuh tanggungjawab akan menunaikan amanah ini sebaik-baiknya, insya-Allah.

Ramai pihak berpendapat kemenangan ini menunjukkan pemimpin dan ahli PAS tidak terpengaruh dengan pelbagai asakan yang dilihat bertujuan menggugat kedudukan Datuk Seri sebagai Presiden, apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Kita ahli-ahli PAS dididik supaya menyertai PAS kerana dasar Islam yang diperjuangkan. Maka ahli PAS memilih pimpinan yang boleh membawa dasar Islam, tegas mempertahankan Islam dan tak terpengaruh dengan suara luar PAS. Mereka yang cuba ingin mengubah hala tuju perjuangan PAS akan ditolak oleh ahli PAS. Sejarah telah membuktikan.

Adakah Datuk Seri terganggu dengan kenyataan bahawa kepemimpinan Datuk Seri kurang berkarisma berbanding Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat?

ABDUL HADI: Kepemimpinan terdahulu telah berjuang sehingga ke akhir hayat mereka bersama dengan PAS kerana mereka meyakini PAS adalah sebuah gerakah Islam, dan mereka bekerja keras dengan kelebihan tersendiri. Saya hanya menyambung perjuangan Islam yang pernah didokong oleh mereka yang telah lalu.

Muktamar kali ini dianggap muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan, apakah yang Datuk Seri harapkan daripada perwakilan?

ABDUL HADI: Saya mengharapkan jentera PAS bekerja keras, setiap cawangan, kawasan dan negeri berada pada tahap bersedia dengan sebarang kemungkinan. Patuh dan taat kepada arahan pimpinan. Dekati rakyat, tidak ada jalan lain untuk selamatkan negara ini dengan kita kembali kepada bahtera Islam.

Pada tahun lalu, ucapan dasar Datuk Seri berkisar soal mewujudkan budaya politik matang, tahun ini apakah pula mesej yang ingin Datuk Seri sampaikan kepada perwakilan?

ABDUL HADI: Mesej kali ini kita mahu sampaikan kepada perwakilan dan rakyat, kita mahu selamatkan negara dengan Islam. 

Ini kerana, selepas terbuktinya kegagalan agama dan ideologi lain dalam menyelesaikan masalah ekonomi, politik dan moral, kini sudah tiba masanya Islam diberi peluang untuk menyelesaikan masalah negara. Kita mahu tukar sistem yang sedia ada dengan sistem Islam, tidak cukup sekadar tukar individu semata-mata.

Budaya politik matang yang Datuk Seri kemukakan dilihat sesetengah pihak hanya merugikan perjalanan politik PAS kerana berpandangan ia akan menjejaskan usaha PAS untuk menggantikan UMNO, apa pendapat Datuk Seri?

ABDUL HADI: Mesej PAS adalah menyelamatkan manusia bersama Islam, maka konsep Dakwah Bil Hikmah yang mengutamakan damai atau disebut Muwajahah Silmiyyah hendaklah diutamakan.Nabi Muhammad SAW sudah bagi panduan untuk memerintah negara. Apabila Raja Habsyah, Raja Oman, Raja Bahrain dan ketua-ketua kaum menerima Islam, mereka semua dikekalkan di tempat masing-masing. 

Namun kalau ada yang menolak, maka diturunkan daripada jawatannya dan digantikan dengan mereka yang beriman dan bertakwa bersama Islam.

HUBUNGAN DENGAN PKR DAN PAKATAN HARAPAN

Datuk Seri sudah membuat keputusan bahawa PAS tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan kerana tidak mahu menjalin hubungan dengan DAP dan PAN, tetapi ramai yang tertanya-tanya soal hubungan PAS dengan PKR kerana PKR juga adalah komponen dalam Pakatan Harapan?

ABDUL HADI: Tunggu Muktamar PAS Ke-63 nanti.

Ketika ini desakan di peringkat kawasan semakin ketara menggesa PAS supaya memutuskan hubungan dengan PKR, pada pandangan Datuk Seri kenapakah desakan itu wujud?

ABDUL HADI: Kita pimpinan Pusat akan dengar dulu pandangan ahli, dan kita akan bawa suara mereka untuk dibincangkan di peringkat kepemimpinan parti.

Ramai meramalkan PAS akan kalah teruk jika bertanding sendirian dalam PRU-14 nanti. Ini berikutan perpecahan yang berlaku dalam PAS sehingga tertubuhnya PAN, adakah Datuk Seri tidak bimbang dengan pandangan ini?

ABDUL HADI: Keahlian PAS meningkat setiap bulan, PAS semakin kuat. Pimpinan dan ahli bersatu dan jelas matlamat yang hendak dibawa. Kita ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh parti pembangkang yang lain. Kita ada strategi tersendiri. Kita yakin masa depan cerah untuk PAS dalam PRU-14.

Apa yang nyata ialah dalaman PAS semakin kuat dengan gerombolan kemasukan semua kalangan termasuk profesional dan agamawan, rakyat dan sebagainya ke dalam PAS. PAS tidak berpecah daripada muktamar lalu, apa yang berlaku ialah ada pihak yang kecewa dan mereka ini memisahkan diri daripada PAS kerana gagal mengubah dasar dan kaedah mengikut selera mereka. Apa yang berlaku ialah dasar perjuangan PAS yang tetap kekal hingga kini.



PAN cuba meraih undi dengan terus memperalatkan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz dan DAP pula membandingkan Allahyarham dengan kepemimpinan Datuk Seri, persoalannya kenapakah mereka berbuat demikian?

ABDUL HADI: Sekiranya sesuatu pihak itu kuat dan mampu berdikari, tentunya mereka tidak akan mempergunakan tokoh yang tetap istiqamah bersama PAS hingga akhir hayatnya.Nampaknya mereka tak boleh berdiri atas kaki sendiri sehingga terpaksa menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk menghalalkan tindakan mereka. Apatah lagi kita melihat mereka telah menjadi jurucakap kepada pihak yang keras dan kasar terhadap pelaksanaan syiar Islam dalam negara ini.

Lihat dan telitilah balik kenyataan Allahyarham Nik Aziz yang keras terhadap DAP apabila mereka menentang apa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Hakikatnya ialah Allahyarhamlah yang memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada saya semasa saya menjadi Presiden PAS selama ini.

DAP nampaknya terus melakukan serangan ke atas PAS, pada pandangan Datuk Seri kenapakah mereka berterusan berbuat demikian sedangkan PAS bukan lagi berada dalam pakatan pembangkang dan tidak juga menjadi sekutu UMNO?

ABDUL HADI: Kerana PAS tidak berkompromi soal kepentingan Islam. DAP sedar PAS menjadi penghalang utama kerakusan mereka yang mahu memerintah Malaysia atau mahu suara mereka kuat dan mampu menundukkan pihak lain. Ini bukti PAS tak pernah tunduk kepada sesiapa, sama ada DAP atau UMNO. PAS ada jati diri Islam.

Apakah pandangan Datuk Seri mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, apakah kesannya kepada kuasa politik orang Melayu memandangkan penubuhan sebuah lagi parti akan memecahkan lagi undi orang Melayu?

ABDUL HADI : Kuasa politik orang Melayu ada pada PAS dan UMNO. Jika mana-mana parti nak tadbir Malaysia, pilih PAS atau UMNO. Kita terbuka kepada mana-mana parti nak bersama dengan PAS, syaratnya terima Islam.


RANG UNDANG-UNDANG 355

Apakah perasaan Datuk Seri sebagai Presiden PAS apabila impian untuk membentangkan Rang Undang-Undang 355 akhirnya tercapai?

ABDUL HADI: Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan usaha sedikit ini untuk mengusahakan cadangan memperkasa beberapa aspek perundangan untuk Mahkamah Syariah di negara kita.

Saya ucap terima kasih kepada kerajaan yang memberi laluan, kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, kakitangan kerajaan, para peguam, ahli akademik dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus berusaha dan mendoakan usaha murni ini. Ia adalah usaha bersama semua pihak yang cintakan agama dan penghayatan agama dalam kehidupan mereka.

Walaupun pelbagai penjelasan diberikan termasuklah menegaskan berkali-kali bahawa RUU355 itu bukan hukum hudud dan khususnya untuk orang Islam, tetapi DAP, PKR dan PAN tetap menentangnya, apa komen Datuk Seri?

ABDUL HADI: Sudah berkali-kali saya menjelaskan dalam ucapan dan penulisan saya bahawa cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan hudud, tetapi nampaknya ada lagi individu dan parti-parti politik tertentu dalam negara ini yang tidak cuba memahami, atau buat-buat tak faham, atau sengaja tidak mahu faham. Sepatutnya baca dan lihatlah dengan mata hati yang murni dan tenang.

Kita mendapat maklumat, mereka takut sekiranya syariat Islam diperkasakan, orang bukan Islam akan melihat kebaikan ini.

Satu lagi tuduhan yang dilemparkan kepada PAS ialah langkah kerajaan membenarkan Datuk Seri membentangkan Rang Undang-undang ini hanya akan memecah belahkan orang Islam, apa pendapat Datuk Seri?

ABDUL HADI: Orang Islam akan bersatu dengan berpegang kepada ajaran Islam, orang Islam akan berpecah apabila meninggalkan Islam. Kita lihat melalui RUU355 berlakunya kesatuan umat Islam, orang PAS sokong, orang UMNO sokong, NGO-NGO Islam pun sokong. Kita juga dapati rakyat yang cintakan agama berterusan menyokongnya.

Sejauh manakah hubungan PAS dengan UMNO memandangkan walaupun pihak kerajaan tidak membentang Rang Undang-undang tetapi laluan tetap diberikan kepada Datuk Seri untuk membentangkannya dan ada yang melihat PAS dan UMNO mempunyai pakatan sulit. Adakah pandangan ini benar?

ABDUL HADI: Kerjasama PAS dengan UMNO atas dasar ta’awun, bekerjasama dalam perkara kebaikan dan tidak bekerjasama dalam perkara kejahatan. PAS bersama UMNO dalam isu RUU355, Rohingya tetapi PAS menentang UMNO dalam isu TPPA, GST dan Akta 164. Ini kematangan PAS dalam berpolitik.

Kita bukan berperang 24 jam, ada masa kita bekerjasama untuk kebaikan Islam dan rakyat. Kita ingin menawarkan politik yang lebih harmoni ke dalam masyarakat kerana politiking melampau dan adu domba tidak ada kebaikan untuk negara. Kita ingin membawa rakyat keluar daripada masalah, bukannya memberi masalah baharu kepada rakyat.

Apakah mesej yang Datuk Seri ingin sampaikan kepada seluruh ahli PAS dalam berhadapan dengan cabaran politik masa kini?

ABDUL HADI: Istiqamah bersama Islam, sejahterakan negara dengan Islam.



© all rights reserved
made with by templateszoo