NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Selangor tunggu arahan Muktamar

Mungkin ada orang cakap, PAS sepatutnya keluar dari kerajaan negeri. Tetapi sebenarnya, kami tunggu arahan dari Muktamar atau (Pimpinan) Pusat - YB Datuk Iskandar Abdul Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata parti itu tidak akan keluar daripada kerajaan negeri sehingga mereka mendapat arahan daripada pimpinan pusat atau diputuskan muktamar.

Beliau yang juga exco Selangor berkata, tidak dinafikan ada sesetengah pihak berpendapat PAS wajar berpisah daripada kerajaan negeri ekoran ketegangan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Iskandar yang juga Naib Presiden PAS berpendapat sebaliknya.

"Mungkin ada orang cakap, PAS sepatutnya keluar dari kerajaan negeri.

"Tetapi sebenarnya, kami tunggu arahan dari muktamar atau (pimpinan) pusat," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Bermula dengan keretakan hubungan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, PAS akhirnya meninggalkan rakan gabungan mereka dalam Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan DAP.

Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 2015 pula menyaksikan sebahagian daripada pimpinan parti itu yang cenderung mempertahankan Pakatan Rakyat disingkirkan oleh perwakilan.

Mereka - diketuai bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu - menubuhkan organisasi baru dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN).

Bersama PKR dan DAP, PAN menjadi sebahagian daripada gabungan baru, Pakatan Harapan. PAS pula membentuk blok ketiga dengan bersekutu bersama beberapa parti kecil, termasuk Parti Ikatan Bangsa Malaysia diketuai bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Jangan buat spekulasi

PAS juga dilihat agak mesra dengan Umno apabila pimpinan tertinggi parti berkenaan pernah duduk sepentas pada beberapa acara utama.

Menjelang muktamar ke-63 PAS di Alor Setar, Kedah akhir April ini, beberapa kawasan - di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Untuk rekod, kerajaan Selangor dapat dibentuk melalui penguasaan kerusi PKR, DAP, PAN dan PAS.

Iskandar berkata, sebarang ketetapan mengenai kedudukan mereka di Selangor hanya akan ditentukan oleh pimpinan.

"Sebagai ahli, kita tidak akan mendahului arahan dari pusat," katanya.

Ditanya apakah kesannya jika PAS diminta keluar daripada kerajaan Selangor, Iskandar berkata, mereka akan melakukannya jika begitu kehendak pimpinan.

Namun ADUN Cempaka itu berkata, beliau enggan membuat spekulasi.

"Lebih baik jangan membuat spekulasi, jom makan tengah hari," katanya semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri Selangor tadi.


Semalam juga Iskandar berkata, beliau tidak hairan ada ada bloger atau cybertrooper PAN atau proparti itu menyamar sebagai anggota PAS untuk menghentamnya selepas menyatakan pendirian tidak akan keluar dari kerajaan Selangor.

Kata Iskandar, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan wakil PAN menyertai barisan pimpinan negeri.

"Mereka memang hendak lenyapkan pengaruh PAS dalam kerajaan. Presiden pun tak buat keputusan lagi. Tunggulah muktamar," katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/377651
© all rights reserved
made with by templateszoo