NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kereta murah mungkin jadi manifesto PAS

36 peratus punca kebankrapan rakyat Malaysia berpunca daripada kegagalan membayar hutang pinjaman kereta.Kenapa orang beli kereta ini ramai bankrap? Saya sebut di parlimen... kita bukan hanya nak bincang tentang pindaan Akta Kebankrapan, tetapi nak bincang yang lebih jauh (daripada itu), (ia) adalah punca-punca yang menjadi sebab rakyat kita bankrap. - Dr Khairuddin Aman Razali

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, membayangkan parti itu akan menjadikan isu harga kereta murah sebagai satu daripada tawaran manifesto mereka pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Menurut beliau, tawaran untuk menurunkan harga kereta itu adalah satu langkah mengatasi masalah muflis yang berlaku di kalangan masyarakat negara ini.

Katanya, 36 peratus punca kebankrapan rakyat Malaysia berpunca daripada kegagalan membayar hutang pinjaman kereta.

"Kenapa orang beli kereta ini ramai bankrap? Saya sebut di parlimen... kita bukan hanya nak bincang tentang pindaan Akta Kebankrapan, tetapi nak bincang yang lebih jauh (daripada itu), (ia) adalah punca-punca yang menjadi sebab rakyat kita bankrap.

"Nombor satu punca (bankrap), kereta tak boleh bayar sebab harga kereta itu mahal. Kenapa kereta mahal?

"Sebab kerajaan ambil cukai daripada kereta. Kalau kerajaan tak ambil cukai daripada kereta, kereta jadi murahlah," katanya dalam ceramah anjuran Muslimat Dewan Kawasan Seberang Takir petang tadi.

Ceramah itu disiarkan secara secara langsung melalui laman Facebook Khairuddin hari ini.

Anggota Parlimen Kuala Nerus itu berkata, salah satu cara untuk mengurangkan harga kereta adalah dengan menghapuskan cukai oleh kerajaan.

Janji dua tahun lalu

Katanya, rakyat terpaksa menanggung beban hutang pinjaman bank yang besar susulan cukai tersebut, iaitu kira-kira 15 peratus daripada harga sebenar kereta.

"Maknanya, kalau kita nak kurangkan harga kereta, caranya kerajaan kena hapuskan cukai kereta. Kalau kerajaan hapuskan cukai, nak ambil duit di mana? GST tu.

"Cukai kereta bukan banyak pun, cukai-cukai ini mengikut yang saya baca tak sampai RM10 bilion setahun," jelasnya.

Tambah Khairuddin, jumlah itu bagaimanapun memberi kesan besar kepada rakyat marhaen selepas kerajaan persekutuan tidak menunaikan janji untuk menurunkan harga kereta dan cukai.

"Kesannya rakyat marhaen yang terpaksa beli kereta dengan harga yang tinggi dengan bank, bank ambil untung pula.

"Masalahnya, kerajaan dah janji dua tahun untuk kurangkan harga kereta dan cukai, tapi tak dilaksanakan dan kita menuntut supaya cukai ini dikurangkan supaya rakyat dapat harga murah," katanya.

Susulan itu, katanya perkara itu kemungkinan akan menjadi salah satu manifesto PAS pada PRU 4 akan datang.

"Jadi penyelesaian untuk kes bankrap yang banyak berlaku sekarang ialah kena turunkan harga kereta.

"Insya-Allah - saya sebut insya-Allah sebab belum dimuktamadkan - antara yang akan jadi manifesto kita adalah berkenaan harga kereta murah," katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai harga rumah yang tinggi turut menjadi faktor kedua punca kebrankrapan berlaku dan menyarankan supaya kerajaan menyediakan tanah lot-lot rumah secara percuma.

http://www.malaysiakini.com/news/377690
© all rights reserved
made with by templateszoo