NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kadar literasi rakyat Malaysia masih rendah - KP Perpustakaan Negara

Kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan jumlah penduduk terkini Malaysia iaitu seramai 31.7 juta orang.



KUALA LUMPUR: Kadar literasi penduduk Malaysia masih berada pada tahap 55 peratus dengan purata setiap rakyat hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun, kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad.

Beliau berkata kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan jumlah penduduk terkini Malaysia iaitu seramai 31.7 juta orang.

"Bagi mencapai sasaran ideal dengan jumlah populasi, setiap orang perlu membaca 30 buku setahun sedangkan secara purata, setiap penduduk hanya membaca sehingga 20 buku seorang dalam masa setahun," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas program Jom Baca Bersama 10 minit 2017 anjuran PNM yang akan diadakan bermula 11 pagi pada 25 April depan.

Program tahun keempat itu, yang menyasarkan penyertaan 5 juta orang, diadakan dengan kerjasama perpustakaan awam, agensi kerajaan dan institusi pendidikan di seluruh negara.

Nafisah berkata, Jom Baca Bersama 10 minit dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat untuk terus mengamalkan budaya membaca sekurang-kurang 10 minit sehari.

"Kalau setiap orang membaca sekurang-kurangnya 10 minit sehari, maknanya mereka boleh menghabiskan sehingga 10 buku dalam tempoh 365 hari," katanya.

Menurutnya usaha menggalakkan budaya membaca buku perlu terus diterapkan dalam setiap masyarakat supaya kadar literasi penduduk dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

"Kita wajar jadikan Korea Selatan sebagai contoh kerana ia mempunyai kadar literasi 99.9 peratus dengan setiap penduduknya membaca secara purata 40 buku setahun," katanya. --BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo