NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jentera PAS Siap Siaga Hadapi PRU14 - Tuan Ibrahim

Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini dah bersedia untuk hadapi PRU14.



MACHANG, 15 April (Bernama) -- PAS kini telah siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang menjangkakan PRU-14 akan diadakan antara Julai dan September tahun ini berkata gerak kerja di peringkat peti undi dan bilik operasi parti itu telah digerakkan sepenuhnya.

"Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini dah bersedia untuk hadapi PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-58 yang turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari di Pulai Chondong di sini, hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilaporkan sebagai berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi PRU14 walaupun sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS akan bertanding di beberapa kerusi baharu berdasarkan keadaan politik semasa terutama membabitkan hubungan dengan parti pembangkang yang lain.

"Dulu kita bertanding di 73 kerusi dan PAS mula melihat beberapa kerusi yang kita fikir berpotensi. (Yang pastinya) PAS akan lawan BN di hampir 90 peratus kerusi yang akan ditandingi PAS," katanya.

Ditanya mengenai serangan terbaru yang dilancarkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli terhadap parti itu menerusi akuan bersumpah berhubung penerimaan sumbangan daripada SRC International Sdn Bhd, Tuan Ibrahim berkata PAS hanya menganggap ia sebagai gangguan semata-mata.

"Apa yang disebut kononnya kaitan Ustaz Nasharudin (Mat Isa) terima dana, beliau (Nasharudin) dah tak bersama dengan pimpinan PAS sejak 2011, dan bagi kami dia (Nasharudin) tak ada kena-mengena dengan PAS pun. Tuduhan Rafizi ini hanya tuduhan jahat untuk merosakkan nama baik PAS," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata setakat ini, hanya Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat sahaja yang memberi usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR dan ia akan dibahaskan sebelum diputuskan oleh muktamar hari ini.

"Muktamar (Dewan Pemuda PAS Kelantan) akan putuskan untuk meluluskan usul ini atau ia diserah kepada pihak-pihak tertentu di dalam parti untuk diputuskan," katanya.

-- BERNAMA



© all rights reserved
made with by templateszoo