NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fahami RUU 355 sebelum bahas - Asyraf Wajdi

Ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang sengaja mencari kesalahan dalam RUU terbabit, meskipun penerangan jelas diberikan oleh Abdul Hadi.

Kerajaan berharap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Khamis lalu diteliti dan difahami terlebih dahulu oleh semua Ahli Parlimen sebelum membahaskannya pada sesi persidangan akan datang. 


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana beliau tidak mahu ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang sengaja mencari kesalahan dalam RUU terbabit, meskipun penerangan jelas diberikan oleh Abdul Hadi. 

"Dengan pembentangan dan sokongan terhadap RUU 355 itu, memberi lebih ruang dan masa kepada semua Ahli Parlimen untuk meneliti dan terserah kepada mereka sama ada bersetuju atau tidak terhadap pelaksanaan akta itu kelak. 

"Kalau bersetuju, kerajaan akan mengambil alih peranan kerana ia sudah menjadi akta kerajaan dan bukan lagi akta individu atau parti. Kalau hendak dipinda, maka kerajaan bertanggungjawab meneliti dan membentangnya dalam sesi Parlimen akan datang," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Yaakob Md Amin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini. 

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) di pada hari terakhir sidang Parlimen, kelmarin.

Meskipun cuba dihalang oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang, namun RUU berkenaan berjaya dibentangkan dan disokong, sebelum sidang ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memuji kebijaksanaan Pandikar yang menangguhkan persidangan bagi memberi ruang kepada Ahli Parlimen mengkaji mengenai isi kandungan usul berkenaan sebelum Parlimen bersidang semula kelak. ---BHARIAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo