NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ucaptama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya DUN Alur Limbat, 3 Februari 2017, Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu.



Ucaptama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Majlis  Pelancaran Jentera Pilihanraya DUN Alur Limbat, 3 Februari 2017, Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu.

..............

Dr Mahathir semata-mata untuk menyelamatkan Umno, menyelamatkan Umno, berapa kali dia tubik masuk Umno? Kang tubik, kang masuk, kang tubik, kang masuk, ini politik dia. Kita kena faham. 

Kita mahu perubahan, dalam perubahan ini PAS mesti menjadi parti yang kuat, parti yang gagah, kita perlu menang terus di Kelantan, ambil balik Terengganu, menang di Kedah, menang di Selangor, PAS yang menang, dan perlu memimpin Perak. Ini sangat penting.

Saya meletakkan dalam kenyataan saya di Kedah seboleh-bolehnya kita dapat 40 kerusi, kerusi Parlimen 40 kerusi. Bila 40 kerusi Parlimen PAS, kita boleh menentukan politik Malaysia sehingga mana-mana parti tak boleh tubuh kerajaan melainkan jemput PAS. Kita menyaksikan betapa kedudukan kita pada hari ini semua orang nak kepada kita, Umno nak pada kita, yang belah ini pun nak pada kita, semua berebut kita. Dan kita kena sedar kedudukan kita. 

Jangan kita terikut-ikut dengan kehendak orang, kemahuan orang. PAS tidak lagi masuk Barisan Nasional, kita tidak mengulangi peristiwa masuk Barisan Nasional. Kita masuk Campuran 1973, rungkaikan Perikatan, masuk Barisan Nasional tahun 1974. PAS masuk dengan syarat-syarat melaksanakan Islam, bebas berdakwah. Kita berjaya, kita berjaya pada masa menyertai kerajaan itu, kita berjaya. 

Apabila kita dapat mewujudkan pegawai-pegawai yang banyak dalam kementerian, pegawai yang berjiwa Islam banyak dalam kementerian, pelajar-pelajar Universiti yang kita kuasai Universiti, tahun 70-an, 80-an, pegawai-pegawai zaman British pencen, bersara, pegawai baru ambil alih, maka jentera Islam masuk dalam jentera-jentera kerajaan menyebabkan berlaku pertembungan antara kita dengan Umno tahun 1979, kita dipecat daripada Barisan Nasional, alhamdulillah dipecat. Ini kerana pertembungan kerana sudah ada kebangkitan Islam dalam jentera kerajaan. Ini berlaku tahun 1979.

Sekarang kita punya tanggungjawab untuk membetulkan keadaan. Kita kena sedar Islam mesti kuat, kalau Islam mesti kuat, PAS parti Islam kena kuat. Kita perlu menarik undi sebanyak-banyaknya. Maka kita telah berjaya mengubahkan pemikiran orang melayu.

Dahulu tahun 1969, politik suku ugama suku, laksanakan hukum Islam jadi huru-hara, laksanakan hukum Islam banyak orang kena kerat tangan, dulu. Hasil dakwah kita, cakap-cakap ini tak ada, tak ada. Berakhir dengan hakim-hakim, peguam-peguam yang kanan di Malaysia ini mendesak dilaksanakan syariat, dilaksanakan hukum Islam. Tetapi untuk meminda kuasa melaksanakan hukum Islam memerlukan majoriti 2/3 ahli Parlimen. 

Sekarang 2/3 ahli Parlimen Islam sudah hilang. Semua kerusi Parlimen 222 kerusi, memerlukan 174 kerusi. Kerusi Islam 140, tak cukup 174 kerusi, tak cukup. Memerlukan 34 kerusi lagi barulah boleh majoriti 2/3 yang tipis, yang tipis.

Maka pindaan Perlembagaan untuk membolehkan Islam itu dilaksanakan sepenuhnya sangat sukar kerana tak sampai majoriti 2/3. Apa yang kita boleh buat ialah menaikkan taraf mahkamah syariah yang membolehkan mahkamah syariah diangkat sehingga sebahagian hukum Islam dilaksanakan. Maka melalui desakan semua pihak pengamal undang-undang, hakim-hakim dan sebagainya, kerajaan menerima cadangan kita untuk meminda 355 iaitulah membolehkan diubah hukum mahkamah syariah diangkat lebih tinggi, hukum takzir boleh dilaksanakan. 

Di mana pindaan 355 ini cukup dengan simple majority lebih satu undi mereka yang hadir di Parlimen, kalau lebih satu undi mereka hadir di Parlimen, cukup. Bermakna campur PAS dengan Umno.

Sekiranya MCA, Gerakan, MIC, orang-orang Kristian Sabah Sarawak tidak mengundi walaupun DAP membangkang, boleh lebih satu undi, cukup. Masalahnya DAP telah menggerakkan orang bukan Islam termasuk sebahagian orang Melayu PAN dan lain-lain supaya membangkang usul Rang undang-Undang 355 ini menjadikan untuk dapat majoriti tipis menjadi satu cabaran kepada kita. 

Oleh kerana itu lah kita perlu menunjukkan kekuatan orang Islam melalui Himpunan yang kita adakan 18 haribulan untuk menunjukkan kepada kaum di Malaysia ini orang Islam ada kekuatan. Dengan sebab itu kena hadir seramai-ramai untuk menjadi satu tekanan supaya mereka tidak membangkang Rang Undang-Undang 355 kerana perkara ini berkait dengan orang Islam, tak ada kena mengena orang bukan Islam. Perlembagaan Malaysia mengatakan mahkamah syariah boleh hukum orang Islam sahaja, orang bukan Islam ada undang-undang dia sendiri, ini mengikut perlembagaan. 

Pasal apa dia campur juga hal orang Islam, ini salah dia. Bila salah dia, kita kena ambil tindakan, sebagaimana orang Indonesia menentang Ahok yang menghina syariat Islam di Jakarta. Bila 7 juta satu hari Jumaat dua bulan lepas, orang keluar di Jakarta sembahyang Jumaat membantah Ahok menyebabkan kerajaan Indonesia dalam keadaan goncang, ini sebagai satu iktibar. 

Dengan sebab itu perlunya kita keluar 18 haribulan ini untuk menunjukkan kekuatan orang Islam, kerana orang Islam 65 peratus, Cina 25 peratus, 10 lagi India campur lain-lain. Kalau kita tidak bersatu, maka tak ada kekuatan bagi orang Islam. 

Dengan sebab itu untuk membina kekuatan PAS, PAS perlu menang banyak, kita kena pertahankan Alur Limbat ini. Nak menang kena orang atas pagar, orang Umno kembali mengundi kita. Nak pujuk orang Umno mengundi kita, orang atas pagar mengundi kita, mesti Politik Matang dan Sejahtera. Politik keras macam dulu sudah tidak boleh, tak boleh menarik orang.

Dengan sebab itu orang kita kena faham, bila saya ceramah dengan Najib, hadir sepentas dengan Najib, ada orang kita sejuk kaki tangan, nak masuk Umno dah, nak masuk Barisan Nasional dah. Ini tak reti, tak faham. 

Saya kata di Kedah, mu tengok bila lembu berlaga, lembu berlaga dia sosong (mara ke hadapan) sokmo ke tak? Dia sosong, ada dia undur, ada dia kelek (angkut/bawa) kiri kanan. Itu lembu, belajar dengan lembu, kata. Ini nak sogong (berlawan) sokmo, tak reti nak berpolitik, kena faham, ini kita kena faham bagaimana  kita nak berpolitik.

Nak selamatkan Islam, nak selamatkan agama kita. Tak usah sebut lah mampus Umno, mati Umno, jangan sebut perkataan itu, hentikan, hentikan ketegangan. Sekarang dia nak balik kepada Rang Undang-Undang 355, nak kuat 355 kena PAS, kena PAS. Dengan sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelatan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor, biar PAS memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biar ke dia, biar ke dia. Kalau boleh nak telan habis, nak telan habis. Tapi mulut kita luas mana nak telan habis? Kita kena ukur dengan saiz kita sendiri, kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam, ini sangat penting, kita kena sedar. Ini Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita lakukan pada hari ini. Orang Umno pun selesa, mereka pun tak mahu bertegang, tak mahu berbalah lama, tak mahu keras. Lembut, lembut ini lah kita boleh berdialog, kita boleh berbincang untuk mencari mana benar mana salah. Kalau silap kena perbetul.

Ini lah cara Nabi kita Muhammad SAW berjuang. Nabi berjuang dalam keadaan kuasa yang kuat, kuasa yang kuat, Nabi memaafkan orang, Nabi menang di Mekah. Bila Nabi menang di Mekah, dapat mengalahkan Musyrikin, tawan kota Mekah, apa Nabi buat? Nabi suruh orang Mekah keluar semua, mereka keluar dalam keadaan ketakutan. Apa Nabi kata? 

"Pergi, kamu semua dimaafkan."

Maafkan, termasuk mereka yang membunuh sahabat, yang mendera sahabat, menyeksa sahabat, Nabi maafkan. Ini tidak mudah, tidak mudah melainkan mereka yang jiwanya besar, yang semangatnya tinggi, semangat untuk menyelamatkan manusia, bukan nak lepas geram semata-mata, ini tidak mudah, ini diajar oleh Nabi. 

Nabi terima perjanjian Hudaibiyah, selepas Nabi terima perjanjian Hudaibiyah menyebabkan orang terima Islam dua tiga empat kali ganda. Lepas Hudaibiyah, Mekah ditawan, lepas Mekah ditawan, Nabi mengambil tindakan maaf, kabilah Arab berduyun-duyun dan menguasai Semenanjung Tanah Arab semuanya. Ini politk matang yang ditunjuk oleh Nabi kita Muhammad SAW. Ini kita kena belajar.

Tidakkah kita yang berjuang Islam kena belajar dengan Nabi, tak boleh belajar dengan orang lain, belajar dengan Nabi. Ada orang loni dia belajar dengan Internet, mengaji dengan internet, tak mengaji kitab, ini satu masalah. Mengaji dengan internet, tengok orang sebar internet, kita baca, naik semangat berbalah, berbalah tak tahu ke benda. yang tulis pun tak tahu ke benda juga, jadi mengarut. Dengan sebab itu kita balik kepada Quran Hadis yang mengajar kita Politik Matang dan Sejahtera.

Untuk menjayakan, kita kena kuat jentera-jentera kita, pentadbiran parti kita, jentera pilihan raya, menambahkan ahli, menambahkan tenaga kerja, menambahkan pengundi-pengundi, khususnya pengundi-pengundi baru kerana banyak kajian dibuat, 40 peratus pengundi baru, 40 peratus pengundi baru ini akan menjadi penentu pilihan raya yang akan datang.

Dengan sebab itu perlu ditarik pengundi-pengundi baru yang lelaki yang perempuan semua sekali dan daftarkan diri untuk menjadi pengundi, jangan tak sedar, bukan main kuat kerja, semangat kuat, hari mengundi tengok nama tak ada. Jadi kita kena daftar, cek tiap-tiap rumah supaya daftar pemilih, dan usahakan supaya mendapat sokongan pengundi yang sebanyak-banyaknya dengan cara yang detail.  

Ini tanggungjawab kita yang sangat besar untuk mempertahankan Islam, meninggikan Islam, mempertahankan Islam dan meninggikan Islam adalah satu amal yang besar pahalanya, pahalanya berpanjangan walaupun kita telah meninggal dunia, kita sudah mati. Berbeza dengan amalan-amalan yang lain, berlipat kali ganda kelebihannya walaupun kita nampak lelah sahaja je, tak ada upah apa pun, lelah sahaja je, kuat-kuat kerja, ustaz Arifin wakil rakyat, kita duduk rumah, apa dia je, jadi wakil rakyat, boleh elaun boleh apa. Ini semua bisikian-bisikan Syaitan yang masuk dalam kepala kita yang letakkan kebendaan merupakan kiblat kepada kita, bukan untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ini kita kena paham, kita kena reti semua. 

Dengan sebab itu kumpulkan kekuatan kita, kumpulkan ahli-ahli, kumpulkan kewangan, kewangan adalah senjata yang penting, Allah Taala sebut dalam Quran, 

(Al-Anfal: 60)
"Dan bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan."

Allah Taala suruh sedia kekuatan sekadar kemampuan kita. Persediaan itu bukan mesti sama dengan lawan kita, memang kita nak lawan lawan kita, tak rak, dia dapat kekuatan seluruh dunia, apa lagi dalam dunia hari ini dunia yang menentang Islam, tak benar Islam ini naik, terutamanya bekas presiden Amerika baru ini naik, orang samseng naik memerintah Amerika, yang terang-terang untuk lawan Islam. Jangan kita ingat dia nak lawan (di) Amerika sahaja, di mana sahaja dia nampak Islam boleh naik, dia akan tekan habis-habisan. 

Kita jangan takut, Allah Taala kata, 

(Al-Anfal: 60)

"Sediakan sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan."

Allah Taala suruh kita sediakan kekuatan mengikut kemampuan kita. Hat ribu kali ganda lagi dia lebih daripada kita, nak lawan guane? Lepas itu pertolongan Allah SWT, pertolongan Allah selepas itu.

Dalam sejarah Islam, Islam boleh lawan musuh yang bukan sepuluh kali ganda, (tetapi) 70, ratus kali ganda, Islam pernah mengalahkan musuh yang lebih besar dengan syarat kumpulan Islam menyediakan kekuatan sekadar kemampuan dengan ikhlas. Bila sekadar kemampuan dengan ikhlas, selepas itu pertolongan Allah SWT yang tak boleh dikalahkan oleh sesiapa pun di seluruh alam ini. Ini kita kena percaya, kita kena yakin, dan banyak orang meramalkan masa depan adalah untuk Islam.

Masa depan untuk Islam kali ini kerana Islam sudah jatuh selama 100 tahun, perjanjian Lausanne, perjanjian yang membatalkan khilafah Uthmaniyah 1916, genap 100 tahun. 100 tahun akan berlaku satu perubahan yang insyaa Allah akan balik semula kepada Islam. Untuk balik semula kepada Islam ini kena ada bahagian kita, kena ada sumbangan kita, di mana bumi tempat kita berpijak di situ bumi kita bekerja. 

Kita bekerja kampung kita, DUN kita, kawasan kita, negeri kita, kita tegakkan Islam di mana kita berada. Maka kita akan bersama dengan Islam yang diberi kemenangan oleh Allah yang dijanjikan itu.

Kalau sekiranya kita tak berdiri di tempat kita, duduk harap-harap sahaja, maka di tempat lain naik, kita ketinggalan, begitulah, tak dapat berkat janji Allah SWT. Mudah-mudahan kita dapat menunaikan kewajipan ini dengan sebaik-baiknya dan saya lancarkan jentera dan kerja pilihan raya DUN Alur Limbat dengan menyebut bismillahirrahmanirrahim, Sirru Ala Barakatillah, dengan mendapat berkat daripada Allah.
© all rights reserved
made with by templateszoo