NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rampas Selangor: Azmin dinasihat jangan emosi, tegur dulu Amanah

Kalau dia (Azmin) tidak selesa dengan kenyataan saya (hendak tawan Selangor), dia juga patut berasa tidak selesa dengan kenyataan Parti Amanah yang berulang kali menyebut untuk merampas Kelantan.



KOTA BHARU: Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak terlalu emosi berhubung kenyataannya bahawa Pas sedia merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nik Mohamad Abduh berkata kenyataan tersebut sebenarnya ditujukan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai tindak balas terhadap parti serpihan Pas itu yang begitu bertekad merampas Kelantan.

Beliau berkata sekiranya Mohamed Azmin menghormati hubungan dengan Pas, Timbalan Presiden PKR itu sepatutnya terlebih dahulu menegur Amanah.

“Mohamed Azmin sepatutnya menegur Parti Amanah kerana PKR masih mempunyai hubungan dengan Pas.

“Kalau dia (Azmin) tidak selesa dengan kenyataan saya (hendak tawan Selangor), dia juga patut berasa tidak selesa dengan kenyataan Parti Amanah yang berulang kali menyebut untuk merampas Kelantan.

Beliau juga melahirkan rasa janggal dengan tindakan PKR yang sanggup berada satu pentas dengan Amanah yang terang-terangan menghentam Pas.

“Apa yang peliknya apabila pakatan pembangkang menyerang Pas, PKR hanya mengambil jalan senyap dan pada masa sama sanggup menghantar orangnya berceramah sepentas dengan Parti Amanah di Kelantan,” kata Nik Mohamad Abduh.

Mohamed Azmin menerusi akaun twitternya menyindir Nik Mohamad Abduh dengan menulis kenyataan: “Ada Tok Lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur.”

Sindiran pedas Mohamed Azmin itu mendapat kecaman hebat oleh akar umbi Pas khususnya di Selangor sehingga terdapat banyak kawasan parti itu menyarankan agar Pas membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan PKR.

Sementara itu, Nik Mohamed Abduh menjelaskan Pas masih bertahaluf siyasi dengan PKR dan partinya sentiasa berlembut dengan parti itu.

Beliau menjelaskan Pas terbuka menerima teguran daripada PKR bahkan menghormati hubungan ini demi kebaikan rakyat di Selangor. ---ASTROAWANI
© all rights reserved
made with by templateszoo