NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis siasat majlis istiadat anugerah gelaran 'Datuan'


KOTA BHARU: Polis akan mengambil keterangan beberapa individu daripada sebuah pertubuhan berkaitan majlis istiadat penganugerahan gelaran 'Datuan' di sebuah hotel di sini, 3 Mac lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya membuka kertas siasatan berkaitan kes berkenaan selepas menerima tiga laporan polis pada 26 Mac lepas mendakwa wujud perkara mencurigakan ketika majlis penganugerahan tersebut.

Beliau berkata, pertubuhan tersebut mengadakan majlis istiadat anugerah diraja dengan memakai dan mengenakan pakaian tertentu yang dikhuatiri seperti memberi darjah kebesaran palsu kepada penerima.
"Selain itu, maklumat mengatakan penganjur majlis anugerah itu juga mengenakan bayaran tertentu kepada penerima dan ia dikhuatiri akan mencemar institusi diraja Kelantan.

"Polis akan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kontinjen bagi menilai dan menyiasat laporan berkenaan. Kita akan melihat beberapa aspek seperti gambar dan merakam percakapan beberapa individu dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata polis juga akan merakam percakapan beberapa saksi utama yang dipercayai boleh membantu siasatan termasuk yang dipertua pertubuhan terbabit serta mereka yang menganjur dan menjayakan majlis.

Selain itu, polis juga akan menyiasat kesahihan pertubuhan berkenaan dan berapa lama ia telah aktif serta jumlah keanggotaan pertubuhan tersebut.

Katanya, siasatan juga akan melihat sama ada mereka memakai lambang seperti dalam laporan polis yang dibuat kerana ia adalah bertentangan dengan Enakmen A54 Enakmen Undang-Undang dan Nama-Nama (Mencegah dari Salah Guna) (Pindaan 2015), jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara 10 tahun.

"Kami akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak protokol dan adat istiadat negeri bagi mengesan adakah wujud kesalahan dalam penganjuran majlis terbabit," katanya.

-- BERNAMA
© all rights reserved
made with by templateszoo