Header Ads

Polis Bongkar Sindiket Edar Dadah Berbentuk Gula Getah Dan Serbuk Minuman


KUANTAN, 16 Mac (Bernama) -- Polis Pahang membongkar satu taktik baharu sindiket pengedaran dadah di negeri ini yang menggunakan pembungkus gula-gula getah dan serbuk minuman berperisa oren berikutan penahanan lima lelaki dalam serbuan berasingan di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Lam Thiam Huat berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Maju Jaya pada 3.30 petang hari berkenaan, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Singapura masing-masing berumur 30 dan 32 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 81.7 gram ketamin, 8.9 gram syabu, 10.1 gram (290) biji pil Erimin 5, 54.7 gram (185) biji pil esctasy, 16 peket plastik bertulis 'Órange Coming' disyaki dadah seberat 412.8 gram.

"Kita turut menemui 24 peket plastik bertulis 'Magic Chew' disyaki dadah seberat 264 gram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Susulan penahanan itu, katanya, tiga lagi suspek berumur 15 hingga 27 tahun ditangkap di hadapan Medan Selera, Jalan Gambut 1 pada 7.30 malam pada hari yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan, polis menjumpai 136.9 gram (490) biji pil Erimin 5, 53 gram (120) biji pil esctasy, 15.4 gram (40) biji pil esctasy (kapsul) dan 13.8 gram (25 peket) ketamin.

Lam berkata, anggaran keseluruhan rampasan yang dilakukan ialah RM165,221 termasuk dua buah kenderaan bernilai RM130,000.

Siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari ibu negara untuk pasaran di sekitar daerah ini dan ini merupakan tangkapan pertama di Pahang membabitkan rampasan dadah yang diisi dalam peket serbuk minuman serta gula-gula getah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori dan kesemua suspek kini ditahan reman bermula semalam hingga 27 Mac ini.

Dalam masa yang beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah supaya membuat laporan di mana-mana balai polis yang berhampiran ataupun ke Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) di talian 09-5151999.


Sumber Gambar: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/03/16/18/11/dadah%20gula%20getah.ashx?w=620&h=413&crop=1&/