NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan putus hubungan tahaluf PKR-PAS di Selangor

Kita serah kepada pusat, tetapi mengikut perkembangan yang baik di Selangor ini, pusat juga wajar mempertimbangkan keadaan hubungan yang baik di Selangor - Mohd Shafie Ngah , Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor

SHAH ALAM: PAS Selangor meminta pertimbangan kepimpinan pusat untuk mengambilkira hubungan baik yang terjalin dengan PKR di negeri itu, sebelum memuktamadkan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti pada Muktamar, April ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, ini kerana hubungan PAS dengan PKR di negeri berkenaan masih harmoni, sambil menambah, ia adalah mandat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat (PR) sewaktu pilihan raya lepas.        

"Kita serah kepada pusat, tetapi mengikut perkembangan yang baik di Selangor ini, pusat juga wajar mempertimbangkan keadaan hubungan yang baik di Selangor.

"Kalau tidak boleh buat satu pengurusan yang menyeluruh untuk Malaysia, minta satu pertimbangan yang wajar kepada Selangor saja pun sudah memadai," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Sungguhpun kedengaran 'pelik', namun tegas ADUN Bangi itu, ini kerana situasi di Selangor adalah berbeza dengan di peringkat pusat.

Pimpinan tertinggi PAS baru-baru ini berkata parti itu akan mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR pada sidang Muktamar parti April ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu diambil susulan PAS menerima tiga usul yang mendesak untuk parti berbuat demikian. 

Sebelum ini, PAS kawasan Permatang Pauh, Bayan Baru dan Dewan Pemuda PAS Tumpat meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, tindakan itu juga mengambil kira kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH).

Muktamar PAS Pusat selama tiga hari bermula 29 April depan yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah.

Sumber: http://antarapos.com/am/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WncpJgZQ==

© all rights reserved
made with by templateszoo