NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Inovasi Pereka Cipta Palestin Bangunkan Gaza Dari Bahan Abu Cipta Sejarah


Tahun lalu, pereka cipta Palestin, Masharawi dan rakannya, Rawan Abdelatif berjaya mencipta satu inovasi yang boleh digunakan untuk membina semula Gaza dari kemusnahan akibat serangan regim zionis.

Inovasi beliau dikenali sebagai “Green Cake”. Green Cake adalah satu-satunya bata yang menggunakan arang batu dan abu kayu. Ianya tidak menggunakan pasir seperti bata lain dan lebih kuat daripada bata biasa.

Demikan laporan Al-Jazeera minggu lalu yang menceritakan kejayaan pasangan pemuda Palestin tersebut.

Menurut Al-Jazeera, idea pasangan tersebut pada awalnya ditertawakan namun pereka cipta berusia 22 tahun itu terus mencuba sehingga akhirnya berjaya.

Masharawi, siswazah jurusan kejuruteraan awam itu percaya dia mempunyai penyelesaian untuk pembinaan semula Gaza yang terhenti sejak sekian lama.

Menurut laporan sama, pasangan itu bercita-cita mengaplikasikan konsep idea mereka selepas mereka menamatkan pengajian untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi, melebihi 40 peratus di Gaza.

Masharawi turut menjelaskan kepada Al-Jazeera bahawa beliau menyedari perkara utama yang perlu bagi memulihkan semula Gaza dari kesan peperangan ialah bahan binaan.

Hal demikian menimbulkan kesedaran ke atas dirinya untuk mengambil inisiatif mencipta sesuatu yang boleh memberi sumbangan kepada negaranya sehingga terhasil idea Green Cake.

“Jumlah simen yang dibenarkan memasuki wilayah itu adalah terhad, dan kos bata mahal dan tidak berkualiti.

“Sebagai alternatif, saya menyedari bahawa sangat banyak abu yang membazir, kerana sebahagian besar dunia bergantung kepada arang batu untuk menjana elektrik.

“Saya fikir ini adalah idea yang baik kerana ia bukan hanya digunakan di Gaza, malah di seluruh dunia,” kata Masharawi.

Beliau menambah, selepas 10 kali gagal, Masharawi mengambil bata prototaip pertamanya ke sebuah kilang tempatan untuk ujian kekuatan mampatan bagi memastikan ia boleh menahan berat badan, tetapi ia runtuh.

Dia dan rakannya, Abdelatif terus mencuba, mengubah cara mereka dengan campur bahan lain untuk menjadikannya lebih sebati sehingga akhirnya mereka berjaya memenangi tempat pertama menewaskan 800 peserta lain dalam satu pertandingan yang diberi nama Mobaderoon III.

Sampel mereka turut diambil oleh delegasi Jepun bagi melengkapkan ujian yang berbaki.

Hingga kini menurut Al-Jazeera, Gaza hanya menerima satu pertiga daripada simen yang diperlukan untuk pembinaan semula, dan hanya 20 peratus daripada unit rumah dimusnahkan telah dibina semula.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB mengeluarkan statistik kemusnahan sejak serangan pada tahun 2014. Menurut laporan tersebut, Israel telah memusnahkan 18,000 rumah manakala seramai 75,000 orang kekal sebagai pelarian.

© all rights reserved
made with by templateszoo