NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dunia Pejam Mata Terhadap Penghapusan Etnik Rohingya




Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KUALA LUMPUR: Tindakan dunia dalam menangani isu Rohingya terlalu lemah dan tumpul kerana wujudnya kepentingan yang menjadikan Myanmar sebagai medan pengaruh dan perebutan geopolitik serta saling memintas antara blok Barat dan Timur dengan mengambil kesempatan dan mengenakan sekatan. 

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dunia mengetahui semua keadaan tersebut, tetapi tidak bertindak atau mengadakan penyiasatan bebas, sebaliknya sentiasa mengutarakan supaya perundingan diteruskan, walhal umat Rohingya sedang menghadapi pembunuhan, dirogol dan diusir.

Malah menurutnya, permainan politik kuasa besar menyebabkan dunia masih beretorik dan hanya membanyakkan persidangan serta resolusi dengan sekadar seruan agar masyarakat meningkatkan keprihatinan atau menggesa Myanmar membuka akses kepada agensi dunia.

Apatah lagi ujarnya, pemerintahan Myanmar sejak daripada zaman junta tentera hinggalah beralih kepada sivil kini, masih juga mengekalkan polisi yang tidak membenarkan sebarang juru lapor termasuk agensi media untuk mengadakan tinjauan dan mengemukakan liputan sebenar. 

“Kerana adanya kepentingan dan manfaat untuk kuasa besar, maka Rohingya bukan perkiraan, Rohingya tiada harga, mereka hanya nampak peluang pelaburan. Kalau kita mengambil masa (sejarah) pemusnahan etnik, bermula perampasan bumi Arakan yang ditukar kepada Rakhine State dan pelbagai dasar lain yang perkenalkan, saya lihat potensi untuk terhapusnya Rohingya setidak-tidaknya di Arakan, akan jadi realiti. 

“Kita lihat situasi dahsyat pernah dihadapi di Kashmir, Chechnya, Palestin, Bosnia dan lain-lain dengan keparahan pembantaian yang sebegitu rupa. Mereka (Rohingya) tidak boleh simpan pisau pun. Hendak guna pisau mesti pinjam di balai polis dan selepas itu dipulangkan. Jauh sekali untuk mempertahankan diri,” ujarnya pada Bicara Harakah, di sini 23 Mac lalu.

Maklum beliau, sehingga Oktober 2016, angka menunjukkan penurunan drastik populasi Rohingya akibat dari operasi penghapusan etnik yang dijalankan terutama di Buthidaung, Rathedaung, Maungdaw, Sittwe dan wilayah atau daerah lain.

Terangnya, pola serangan dilakukan pula melibatkan beberapa kumpulan termasuk bersekongkol dengan pihak tentera, di mana terdapat bentuk khusus pembantaian atau operasi dengan mendakwa tuduhan tertentu untuk menjustifikasikan tindakan pihak terbabit.

Misalnya ujar beliau, tindakan pada tahun 2012 dilaksanakan atas dakwaan seorang gadis dirogol etnik Rohingya dan 2014 pula kerana dakwaan pergaduhan dicetuskan pemilik kedai dari etnik Rohingya, sementara pada 2016 oleh atas alasan melanggar peraturan membina sekolah atau madrasah.

Demikian itu beliau percaya serangan tidak akan berhenti, memandangkan ketika sama tapak ketenteraan dibesarkan di wilayah tersebut dengan jangkaan serangan lebih agresif bakal berlaku selepas ini.

Mohd Azmi juga kesal kerana dunia turut bersama mendakwa wujudnya Kumpulan Daesh dan ISIS yang sedang bertapak bagi merasionalkan pihak tentera untuk meningkatkan serangan dan tangkapan serta serbuan di kem-kem pelarian di Bangladesh. 

Katanya, walaupun wujud usaha dan kebangkitan etnik Rohingya termasuk menubuhkan sayap militan dan politik, tetapi tidak berlaku berterusan lantaran tiadanya keupayaan seperti Hamas di Palestin, pejuang Moro di Filipina atau pembebas Patani di Thailand.

Menurutnya, Rohingya memerlukan penyusunan kepimpinan untuk membentuk suara yang teratur dan bersepakat dalam mengemukakan tuntutan mereka agar dapat disahkan serta memberi tekanan kepada pihak berkaitan.
© all rights reserved
made with by templateszoo