Header Ads

Dr Khairuddin Setuju Wacana Dengan Dr Asri

Kami di MAPAN, UUM, bersedia pada bila-bila masa untuk menganjurkan wacana mengenai pindaan Akta 355 ini mahupun wacana mengenai apa-apa sahaja isu politik semasa di dalam usaha untuk membantu mewujudkan budaya berpolitik yang sihat di Negara ini. Diharapkan Mohd Asri akan sudi menerima undangan kami ini dan tidak akan melarikan diri daripada berdialog mengenai isu pindaan Akta 355 ini.

Di dalam laporan Malaysiakini bertarikh 28 Februari 2017 bertajuk “Debat elak Khairuddin dilabel jaguh kampong”, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, dipetik sebagai menggesa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, menerima pelawaan debat dengan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle mengenai isu pindaan Akta 355.

Dakwa Maszlee di dalam kenyataannya, ceramah politik sehala biasanya menjadi medan para ulama PAS seperti Khairuddin dan lain-lain untuk mengutuk lawan mereka tanpa adanya akauntibiliti dan semak imbang. Dakwa beliau lagi, para ulama PAS sewenangnya menghentam, mengugut, menghina mana-mana individu yang tidak sehaluan dan tidak sealiran dengan mereka terutamanya dalam isu pindaan Akta 355.

Maszlee seterusnya menyebut, “Ruang debat, dialog atau forum lebih sesuai untuk memastikan ketepatan fakta, integriti dan profesionalisme”. Tambah beliau, “Jika Khairuddin melarikan diri daripada berdialog (mengenai isu pindaan Akta 355 dengan Rozaimi), ia hanya akan memberikan kesan buruk dan titik hitam dalam lipatan sejarah hidupnya kerana beliau akan dilihat hanya berani sebagai jaguh kampung sahaja."

Saya telah mendengar rakaman video ucapan Khairuddin di Pantai Geting, Tumpat, pada 12 Februari 2017 dalam mana beliau menyelar Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerana mengeluarkan kenyataan yang “menjadi modal” kepada golongan yang menentang pindaan Akta 355, khususnya kenyataannya bahawa pindaan ini “bukan hukum Tuhan” dan “nak bantah pun tak apa kalau tak setuju”.

Khairuddin seterusnya menyebut bahawa pindaan Akta 355 ini wajib dilaksanakan dan wajib disokong kerana bila diluluskan ia, yang membolehkan hukuman 100 sebatan dilaksanakan, akan “membolehkan tiga undang-undang jenayah Islam dihukum berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah Nabi”, iaitu hukuman syurb @ minum arak (40 sebatan), hukuman qazaf (80 sebatan) dan hukuman zina ghairu muhsan (100 sebatan).

Selanjutnya Khairuddin menyatakan kesediaan beliau untuk berhujah dengan sesiapa sahaja yang menyatakan bahawa pindaan Akta 355 ini adalah tidak wajib. Lanjutan itu, Rozaimi di dalam posting facebooknya pada 25 Februari 2017 menulis kesediaan beliau menerima tawaran Khairuddin untuk berdiskusi atau berwacana dengan Khairuddin mengenai kewajipan menyokong pindaan Akta 355 ini.

Sebenarnya, sejak 15 Februari 2017 lagi, saya selaku Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menghubungi Khairuddin dan Mohd Asri bagi menyatakan kesediaan untuk menganjurkan wacana di UUM, yang mempertemukan mereka berdua di dalam isu pindaan Akta 355 ini memandangkan pentingnya isu yang kini mendominasi diskusi politik Malaysia.

Khairuddin terus sahaja menyatakan persetujuan beliau untuk berwacana dengan Mohd Asri di UUM tanpa meletakkan sebarang syarat kepadanya, malah turut bersetuju dengan mana-mana tarikh yang dipersetujui oleh Mohd Asri. Malangnya, Mohd Asri pula sehingga sekarang langsung tidak menjawab undangan saya ini, sama ada yang dibuat terus kepada beliau mahupun melalui pihak ketiga yang rapat dengan beliau.

Bagi saya, adalah tidak wajar untuk Maszlee membuat innuendo seolah-olah Khairuddin mahu melarikan diri daripada berdialog mengenai isu pindaan Akta 355 ini memandangkan Khairuddin sejak awal lagi telah menyatakan kesediaan beliau untuk berwacana dengan Mohd Asri. Sebaliknya, keengganan Mohd Asri menyahut undangan menunjukkan beliaulah yang tidak bersedia untuk berwacana dengan Khairuddin.

Walaupun Khairuddin di dalam ucapannya pada 12 Februari 2017 menyebutkan kesediaan beliau untuk berwacana dengan sesiapa sahaja yang mempersoalkan pindaan Akta 355 ini, tetapi disebabkan kenyataan Mohd Asri yang paling lantang dan paling mendapat liputan media, dan ucapan Khairuddin juga adalah mengenai kenyataan Mohd Asri, maka lebih wajar jika Mohd Asri yang berwacana dengan Khairuddin.

Kami di MAPAN, UUM, bersedia pada bila-bila masa untuk menganjurkan wacana mengenai pindaan Akta 355 ini mahupun wacana mengenai apa-apa sahaja isu politik semasa di dalam usaha untuk membantu mewujudkan budaya berpolitik yang sihat di Negara ini. Diharapkan Mohd Asri akan sudi menerima undangan kami ini dan tidak akan melarikan diri daripada berdialog mengenai isu pindaan Akta 355 ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).