NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anak Malaysia Buktikan Mampu Tukar Padang Pasir Tandus Jadi Ladang Gandum



14/03/2017 – Tiada siapa yang dapat menyangka dan menduga, suatu ketika tempat tersebut hanyalah padang pasir yang tandus. Tetapi, padang pasir yang tandus itu telah bertukar menjadi ladang gandum yang subur.


Itulah yang telah dibuktikan oleh seorang jurutera Malaysia, Tuan Hj Zuraimi Isa apabila projek wakaf Al Rajhi Group di Sudan telah berjaya menukar sebuah padang pasir yang tandus di negara panas Sudan itu menjadi ladang gandum yang sangat subur dengan kepakaran teknologi kejuruteraan yang digunakan

Tuan Hj Zuraimi Isa adalah Ketua Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Air yang terlibat dalam pembinaan rumah pam, pam pengairan, pembinaan terusan dan pivots.

Kepakaran Hj Zuraimi Isa dalam bidang kejuruteraan mekanikal ini sangat hebat dan kepakarannya itu telah mendapat kepercayaan oleh 7 buah negara sepanjang 19 tahun beliau bertugas.

Namun projek yang telah dijayakan oleh Hj Zuraimi ini memberikan sedikit kepuasan yang berbeza dengan projek yang dilakukannya sebelum ini kerana projek ini merupakan projek wakaf. Projek ini telah memberikannya kepuasan lahiriah dan juga rohani pada dirinya.


Setiap projek yang diuruskan oleh beliau mempunyai cabaran yang tersendiri. Tetapi, cabaran terbesar yang perlu dilalui oleh Hj Zuraimi adalah mendapatkan alat ganti.

Kebanyakan projek wakaf ini berada di pedalaman padang pasir. Jarak terdekat dengan bandar utama adalah 400km.

Jadi beliau banyak melakukan modifikasi untuk menyiapkan sesuatu projek berdasarkan apa material yang terdapat di tapak projek.

Selain itu, beliau juga menasihati anak-anak muda prinsip utama yang diamalkan olehnya adalah kejujuran dan ikhlas. Jujur dalam bekerja, jujur dalam berkawan dan juga jujur dalam kehidupan. Bila kita jujur dalam bekerja, tidak menipu walaupun kadang-kadang kita di pihak yang sedikit, ALLAH swt akan bukakan jalan untuk kita.


“Sepanjang dalam kerjaya saya, saya tidak pernah meminta untuk dinaikkan pangkat atau dinaikkan gaji.

“Tetapi dengan kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan kerja, kenaikan pangkat dan gaji itu datang sendiri. Saya tidak pandai membodek, dan saya terkenal di kalangan rakan sekerja sebagai seorang yang tegas dan garang. Tetapi itulah resepi saya dalam menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.

“Kadang-kadang saya juga meragui kemampuan saya sendiri, tetapi saya tidak pernah berundur. Saya sahut cabaran itu dan buktikan saya mampu lakukan!

“Bukan senang untuk membina keyakinan orang asing terhadap kita sebagai orang Asia. Tetapi, Alhamdulillah kebanyakan warga asing sama ada dari Eropah atau benua lain amat menghormati saya,” katanya.

Sementara itu, Tuan Hj Zuraimi Isa adalah anak kelahiran negeri Kelantan. Malah, beliau juga adalah pelajar di universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA. Kejayaan beliau seharusnya dijadikan contoh dan juga sebagai sumber insprasi kepada anak-anak muda lain yang meminati bidang kejuruteraan mekanikal. – MissA/UtaraNews.com

http://utaranews.com/2017/03/anak-malaysia-buktikan-mampu-tukar-padang-pasir-tandus-jadi-ladang-gandum.html/                        

© all rights reserved
made with by templateszoo