NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah Kita Masih Memerlukan ‘English Common Law’?

Sistem perundangan Malaysia sudah mencapai tahap kematangan selepas mencapai kemerdekaan sejak 1957, maka sewajarnyalah kerajaan berusaha bersungguh-sungguh ke arah mewujudkan kewibawaan dan kekuatan sendiri dalam sistem rujukan perundangan. Sepatutnya kita tidak lagi memerlukan klausa berkenaan rujukan kepada sistem perundangan negara orang lain.Oleh yang demikian, Akta Undang-undang Sivil 1956 terutamanya seksyen 3 dan 5 perlu dikaji semula agar pergantungan kepada sistem perundangan Inggeris dapat dihentikan, atau sekurang-kurangnya dikendurkan.

1. Kenyataan Tun Ahmad Fairuz yang menggesa agar amalan rujukan kepada English Common Law dihentikan adalah tepat dan amat dialu-alukan.

2. Sistem perundangan Malaysia sudah mencapai tahap kematangan selepas mencapai kemerdekaan sejak 1957, maka sewajarnyalah kerajaan berusaha bersungguh-sungguh ke arah mewujudkan kewibawaan dan kekuatan sendiri dalam sistem rujukan perundangan. Sepatutnya kita tidak lagi memerlukan klausa berkenaan rujukan kepada sistem perundangan negara orang lain.

3. Oleh yang demikian, Akta Undang-undang Sivil 1956 terutamanya seksyen 3 dan 5 perlu  dikaji semula agar pergantungan kepada sistem perundangan Inggeris dapat dihentikan, atau sekurang-kurangnya dikendurkan.

4. Namun begitu, mekanisma yang lebih penting ialah dari sudut pembangunan sumber manusia, iaitu membina generasi pelapis dalam badan kehakiman, dan di kalangan peguam serta pegawai undang-undang yang mempunyai kewibawaan ilmu, kebijaksanaan serta keberanian untuk mengukuhkan sistem perundangan yang berasaskan jatidiri tempatan.

5. Oleh yang demikian, isu ini bukan isu pengapusan satu sistem untuk diganti dengan sistem yang baru, tetapi isu pengukuhan sistem perundangan negara melalui pembinaan jatidiri perundangan yang menyerlahkan hakikat kemerdekaan kita. Prosesnya tidak perlu gopoh, tetapi secara penuh berperancangan dan beransur-ansur. 

6. Selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, maka prinsip-prinsip Islam sewajarnya perlu menjadi rujukan terpenting dalam membangunkan sistem perundangan yang berasaskan jatidiri tempatan. Tambahan pula sejarah panjang perundangan negara menunjukkan sistem perundangan Islam sudah sekian lama bertapak sejak lebih 600 tahun lalu. 

7. Perlu diingat juga masyarakat bukan Islam tidak akan sama sekali dinafikan hak mereka kerana sifat perundangan Islam yang universal serta memberikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama akan menjamin kedudukan bukan Islam. Bahkan untuk jangka masa panjang usaha ini perlu digabungkan dengan langkah penyelarasan semua kedudukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, agar tidak wujud pertembungan bidang kuasa yang menjadi punca sikap prejudis bukan Islam terhadap undang-undang Islam selama ini.

8. Maka, pihak kerajaan wajar mewujudkan segera satu Jawatankuasa Khas bagi menggerakkan usaha untuk mewujudkan sistem perundangan yang berasaskan jatidiri tempatan. Suara-suara yang menggesa ke arah transformasi begini telah lama kedengaran, maka amatlah wajar agar kerajaan tidak membiarkan hasrat ini hanya terbuku dihati rakyat yang cintakan keindahan undang-undang yang berasaskan keadilan Ilahi, tanpa ada sebarang tindakan yang konkrit dan meyakinkan.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST)
Universiti Teknologi Malaysia
© all rights reserved
made with by templateszoo